AFP

London: Andy Murray menghidupkan peluangnya untuk ke separuh akhir pusingan akhir Jelajah ATP selepas mencatat kemenangan 6-3, 7-5 ke atas Milos Raonic, kelmarin.

Sebelum perlawanan, Murray sedar dia bakal tersingkir daripada saingan penutup musim di Arena O2 London itu jika gagal menundukkan Raonic, tetapi pemain nombor enam dunia itu mempamerkan aksi cemerlang untuk mencatat kemenangan pertama Kumpulan B selain terus berpeluang melangkah ke separuh akhir.

Bekas juara Wimbledon itu kini perlu mengalahkan juara enam kali, Roger Federer pada aksi terakhir peringkat kumpulan untuk layak manakala Raonic yang tewas kedua-dua perlawanan, sudah pasti tersingkir.

“Ahad lalu, aksi saya tidak menjadi. Hari ini, saya melakukan beberapa pukulan baik dan ia berlaku pada saat tepat. Servis Milos pula tidak begitu bertenaga dan ia memudahkan tugas saya,” kata Murray.

“Perlawanan menentang Roger pasti menarik dan saya tidak sabar untuk bertemunya. Sudah pasti ia akan berlangsung sengit.”

Kemenangan Murray turut bermakna Federer belum tentu boleh layak ke separuh akhir walaupun menang dua aksi sebelum ini termasuk kejayaan 6-3, 6-2 ke atas Kei Nishikori pada perlawanan lebih awal.

Selepas beraksi hebat selama enam minggu dalam memburu slot ke pusingan akhir Jelajah ATP, Murray menang di Shenzhen, Vienna dan Valencia bagi memastikan tempatnya.

Begitupun, dia kelihatan agak tidak bermaya ketika ditewaskan Nishikori Ahad lalu.

Murray sedar dia perlu segera bangkit ketika menentang Raonic yang menang tiga daripada empat pertemuan antara mereka sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:05 AM