MURRAY (kanan) bersalaman dengan  Dimitrov selepas perlawanan tamat.
MURRAY (kanan) bersalaman dengan Dimitrov selepas perlawanan tamat.
Reuters

Paris

Kebangkitan Andy Murray akhir-akhir ini berterusan apabila pemain Britain itu melayakkan diri ke Pusingan Akhir Jelajah Dunia ATP selepas mara ke suku akhir Masters Paris berikutan kemenangan 6-3, 6-3 ke atas pemain Bulgaria, Grigor Dimitrov, kelmarin.

Selepas terkeluar daripada kelompok 10 terbaik dunia ekoran kekalahan pada suku akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS), Murray memulakan usaha saat akhir bagi menempah tiket ke kejohanan penamat musim di London, yang menampilkan lapan pemain terbaik musim ini.

Pilihan kelapan itu membuktikan dia berhak mendapat tempat dengan menyingkirkan pilihan kesembilan, Dimitrov yang kini gagal dalam perebutan tiket ke kejohanan dari 10 hingga 18 November itu.

Murray akan berdepan pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic bagi memburu tempat ke separuh akhir selepas pemain Serbia itu menundukkan Gael Monfils dari Perancis 6-3, 7-6 (7/2) dalam tempoh 92 minit pada perlawanan awal pagi semalam.

“Saya tidak melakukan sebarang kesilapan dalam perlawanan ini,” jelas Murray selepas muncul pemain kelima memastikan tempat ke kejohanan penamat musim itu.

“Dalam beberapa perlawanan menentang pemain ternama, ada ketika tahap persembahan saya merudum dalam permainan dan pemain terbaik akan menggunakan kesempatan itu.

“Tapi, saya tidak melakukan kesilapan hari ini. Saya bermain baik sejak mula hingga akhir dan benar-benar menyukarkan Grigor.”

Pilihan kedua Roger Federer mengetepikan pemain Perancis, Lucas Pouille 6-4, 6-4 dan kini berdepan Milos Raonic yang masih boleh layak ke pusingan akhir Jelajah selepas pemain Kanada itu membenam 23 ace ketika menang 7-5, 7-6 (9/7) ke atas pemain Sepanyol, Roberto Bautista Agut.

Federer yang menang lima daripada 10 final tahun ini, meneruskan rentetan kemenangannya kepada angka 14 ketika dia berusaha merampas kembali status pemain nombor satu dunia, sesuatu yang boleh dicapainya dengan muncul juara di Paris manakala Djokovic gagal ke final.

Bagaimanapun, pilihan ketiga Stanislas Wawrinka terkandas pada pusingan ketiga apabila tewas 7-6 (7/2), 5-7, 6-7 (3/7) kepada Kevin Anderson dari Afrika Selatan sekali gus mengalami kekalahan keempat dalam lima perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 November 2014 @ 5:05 AM