AFP

London: Novak Djokovic (gambar) bakal bertemu Rafael Nadal di Pusingan Akhir Jelajah ATP Dunia apabila juara bertahan itu mengesahkan tempat separuh akhir selepas mengalahkan Tomas Berdych 6-3, 7-5 manakala Roger Federer mengatasi bintang Jepun Kei Nishikori.

Selepas Federer menang 7-5, 4-6, 6-4 pada perlawanan lebih awal, Djokovic yang juga pemain nombor satu dunia itu sedar dia boleh layak ke separuh akhir jika mampu menang satu set ketika menentang Berdych pada aksi peringkat kumpulan di Arena O2, London.

Bintang Serbia itu yang memenangi tiga gelaran Grand Slam tahun ini, tidak membuang masa untuk mencapai kejayaan apabila memenangi set pertama dan menamatkan saingan peringkat kumpulan di belakang Federer.

Impian Djokovic untuk memenangi Jelajah ATP Dunia buat kali keempat berturut-turut, berdepan halangan besar apabila terpaksa mengetepikan Nadal hari ini tambahan pula musuh tradisinya itu kelihatan semakin berbisa dengan mengatasi Stan Wawrinka dan Andy Murray bagi menduduki tangga teratas kumpulan satu lagi.

“Kami sudah bertemu banyak kali termasuk di atas gelanggang ini,” kata Djokovic yang menang tujuh dari lapan pertemuan menentang Nadal sebelum ini.

“Dia beraksi cemerlang sepanjang dua perlawanan awal dan saya harap dapat berada di tahap terbaik. Itulah saja yang saya perlukan untuk mengalahkannya.”

Federer yang pernah menjulang Jelajah ATP Dunia sebanyak enam kali, akan berdepan sama ada Murray atau Wawrinka pada satu lagi aksi separuh akhir.

Tewas straight set kepada Federer bukanlah sesuatu yang menyenangkan buat Djokovic tambahan pula kekalahan itu menamatkan rekod 23 kemenangan yang dilakar sejak Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2015 @ 5:21 AM