Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy menunjukkan senjata api dan peluru yang ditemui di rumah suspek. - Foto NABIHAH KAMAL
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy menunjukkan senjata api dan peluru yang ditemui di rumah suspek. - Foto NABIHAH KAMAL
Oleh Siraj Mohd Zaini dan Nabihah Kamal


Kuala Lumpur : Polis menahan tiga lelaki berusia antara 30 hingga 47 tahun di sebuah kondominium di Jalan Pahang, Jumaat lalu, kerana memiliki senjata api secara haram dan melakukan ugutan jenayah.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengawal keselamatan kondominium yang menerima dua butir peluru hidup daripada salah seorang suspek selepas menegurnya mengenai cara kenderaannya diparkir.

Menurutnya, sepasukan polis daripada Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFFOC) Bukit Aman menyerbu sebuah rumah di kondominium berkenaan dan menahan tiga lelaki.

"Polis menemui sepucuk pistol jenis Glock bersama 13 butir peluru 9mm dan dua butir peluru kapur.

"Pemeriksaan lanjut mendapati lesen memiliki senjata api oleh salah seorang suspek tamat tempoh pada 2012 manakala seorang lagi suspek mengaku memberikan dua butir peluru kepada pengawal keselamatan kondominium berkenaan," katanya pada sidang media, hari ini.

Mohamad Roy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2015 @ 4:00 PM