MOHAMAD ROY menunjukkan pistol yang dirampas daripada suspek.
MOHAMAD ROY menunjukkan pistol yang dirampas daripada suspek.
Oleh Siraj Mohd Zaini

Kuala Lumpur: Tindakan menegur seorang samseng lelaki menyebabkan seorang pengawal keselamatan ‘dihadiahkan’ dua butir peluru hidup oleh suspek.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 pagi Jumaat lalu, mangsa berusia 50 tahun menegur suspek yang meletakkan kereta secara salah di sebuah kondominium di Jalan Pahang di sini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, suspek berusia 46 tahun itu bagaimanapun tidak berpuas hati sebelum bertindak menyerahkan dua butir peluru hidup kepada pengawal terbabit dan mengugut mangsa tidak mengganggunya.

Menurutnya, pengawal itu kemudian membuat laporan polis pada hari sama.

Dia berkata, pihaknya memaklumkan kes itu kepada Pasukan Khas Jenayah Terancang (STAFFOC) Bukit Aman yang menyerbu kondominium didiami suspek.

“Ketika serbuan dlakukan, tiga lelaki berusia 30 hingga 47 tahun berada di dalam rumah berkenaan termasuk suspek yang dipercayai menyerahkan dua butir peluru hidup kepada pengawal keselamatan.

“Pemeriksaan lanjut menemui sepucuk pistol model Glock bersama 12 butir peluru dan dua peluru kapur,” katanya.

Mohamad Roy berkata, hasil siasatan mendapati seorang suspek berusia 47 tahun mengaku memiliki pistol berkenaan, namun lesennya tamat pada 2012.

“Pemilik pistol itu adalah pengurus sebuah syarikat keselamatan, namun lesen perniagaannya juga sudah ditamatkan Kementerian Dalam Negeri pada Julai tahun ini.

“Dua suspek memiliki rekod jenayah lampau termasuk menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan dadah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2015 @ 6:23 AM