ANGGOTA polis memeriksa kenderaan sebelum  menemui pistol bersama peluru di Kilometer 9.7 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Changlun, kelmarin.
ANGGOTA polis memeriksa kenderaan sebelum menemui pistol bersama peluru di Kilometer 9.7 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Changlun, kelmarin.
Muhaamad Hafis Nawawi


Changlun: Tindakan seorang lelaki berusia 31 tahun yang menyeludup pistol bersama 30 butir peluru hidup dan satu kelopak peluru yang dibeli di Thailand berharga RM3,000 mengundang padah apabila dia ditahan polis di Kilometer 9.7, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, di sini, jam 10.40 malam kelmarin.

Isterinya, 26, sepupu lelaki, 41, dan rakan wanita, 36, turut ditahan dalam kejadian itu ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah suspek di Taiping, Perak.

Menurut sumber, suspek yang bekerja sebagai pemungut hutang bersama isterinya menaiki kereta Perodua Myvi manakala dua individu lain itu menaiki kereta BMW ditahan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah yang menjalankan rondaan cegah jenayah.

“Hasil pemeriksaan di dalam kereta Perodua Myvi menemui sebuah beg silang milik suspek berusia 31 tahun mengandungi dua bungkusan berbalut plastik lutsinar dan surat khabar Thailand.

“Pemeriksaan lanjut di dalam bungkusan itu menemui sepucuk pistol bersama satu kelopak peluru dan 30 butir peluru hidup,” katanya.

Sumber berkata, turut ditemui beg galas milik isterinya yang juga seorang anggota polis bertugas di Kuala Lumpur mengandungi uniform operasi polis dan barangan peribadinya.

“Soal siasat mendapati suspek membeli pistol itu di Thailand dengan harga RM3,000.

“Siasatan juga mendapati isterinya dan dua lagi suspek mendakwa tidak mengetahui pembelian pistol itu oleh lelaki terbabit.

“Suspek pertama juga memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah manakala sepupunya memiliki lima rekod jenayah lampau berkaitan samun, ugutan, curi dan dua kes orang dikehendaki berkaitan kes mendatangkan kecederaan manakala dua wanita terbabit tidak memiliki rekod jenayah lampau,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui laman Twitternya mengucapkan tahniah kepada JSJ Kedah kerana menahan empat individu terbabit dan merampas pistol yang diseludup.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2016 @ 9:55 AM