SENTUHAN seni Zulaiha dalam Apple I.
SENTUHAN seni Zulaiha dalam Apple I.
INI pembabitan sulung Lau dalam pameran seni berkumpulan.
INI pembabitan sulung Lau dalam pameran seni berkumpulan.
ZULAIHA bersama sebahagian kerja seninya.
ZULAIHA bersama sebahagian kerja seninya.
ANTARA kerja seni Prasad menyentuh mengenai kecantikan wanita India.
ANTARA kerja seni Prasad menyentuh mengenai kecantikan wanita India.
Oleh Siti Salmiah A Hamid


Walaupun dikategorikan sebagai golongan Orang Kurang Upaya (OKU), ia langsung tidak mematahkan semangat wanita berjiwa besar ini.

Penulis mula mengenali Zulaiha Zulkapli selepas dipertemukan menerusi ekspo Deaf Art Expose pada tahun lalu, manakala untuk tahun kedua, RC Deaf Expressions diadakan di The Curve, Damansara pada 2 Oktober lalu.

Zulaiha yang berasal dari Sungai Koyan, Kuala Lipis, Pahang, bekas penuntut jurusan Reka Bentuk Grafik dan Multimedia di Institut Bina Usahawan (EDI) (kini dikenali sebagai Kolej Pengajian Strategik dan Teknologi).

Pekak dan bisu yang dialami tidak menghalang Zulaiha terus berkarya apabila turut dijemput menyertai Pameran Artis Pekak Sedunia yang berlangsung pada September lalu.

Pengalaman itu membolehkan beliau menimba pelbagai ilmu daripada rakan dari Itali, Perancis, Russia, Jepun, Vietnam, Amerika Syarikat, Britain dan Korea Selatan selaku tuan rumah.

Artis berusia 30-an ini mahir dalam lukisan abstrak, namun lebih gemar menjadikan alam sebagai ilham seninya.

Keindahan suasana kampung, flora dan fauna serta lukisan basikal tua menjadi bukti dambaan Zulaiha yang begitu dekat di jiwanya menerusi 32 karya.

“Saya harap lebih ramai masyarakat menyokong artis OKU, sekali gus memberi peluang kepada kami menunjukkan hasil seni masing-masing,” katanya.

Berbanding Zulaiha, ia julung kali buat Peter Lau Yok Ung yang berasal dari Sarikei, Sarawak, menyertai pameran anjuran RC Deaf Missions Malaysia.

Sejak berusia 11 tahun, beliau mula menghasilkan kerja seni abstrak, landskap dan pemandangan yang dipaparkan melalui lima karya sulungnya yang mampu menarik perhatian ramai.

Menggunakan medium akrilik di atas kanvas, gambaran perahu banyak berkait dengan kenangan Lau sepanjang perjalanan hidupnya. Lukisan burung helang pula sangat dekat dengan dirinya yang berani menghadapi cabaran.

Sementara, lukisan dunia hutan pula dikaitkan dengan hobi beliau yang suka melakukan aktiviti lasak seperti mendaki di Bukit Tabur, Ampang dan Bukit Kutu, Kuala Kubu Baru.

Prasad Prasanna Kumar antara artis pekak bisu yang dijemput dari Caoimbatore, India.

Bukan saja ekspresinya di atas lukisan, Prasad mempunyai kebolehan mewarna, melukis dan mengukir di atas batu sungai untuk dijadikan perhiasan unik dan cenderahati.

Beliau yang dikenali sebagai ‘The Silent Creator’ menerima pengiktirafan di atas kemahirannya dalam bidang seni dari negara kelahirannya selepas berkecimpung selama 20 tahun.

“Ketika di bangku sekolah, saya lebih fokus dalam pelajaran seni berbanding subjek lain.

“Ketika berusia 16 tahun saya sudah mengutip pengalaman dalam bidang ini dengan bekerja sebagai pelukis dan tukang cat papan iklan di Mumbai.

“Selepas 10 tahun, saya bertekad serius dalam bidang seni lalu memulakan kerjaya seni lukis di kampung halamani.

“Setakat ini, saya sudah menjayakan tiga pameran solo dan ini pameran pertama di luar India. Saya harap masyarakat di sini terus menyokong orang istimewa seperti kami dan memberi peluang yang jarang dinikmati,” katanya.

Dalam pameran itu, Prasad menghasilkan 25 lukisan memaparkan budaya, tradisi dan kecantikan wanita India dan 32 batu sungai yang diambil dari Sungai Kolanyal, India.

INFO

PAMERAN DEAF EXPRESSIONS 2015

- Tema: Deaf Synergy in Art

- Acara: Dianjurkan setiap tahun

- Oleh: RC Deaf Missions Malaysia

- Hubungi: Pengarah Agnes Peter

- Telefon: 019-261 9920

- Web: www.rcdeafmis­sionsmalaysia.com

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2015 @ 11:08 AM