ROSBERG (kiri), Hamilton ketika sidang media.
ROSBERG (kiri), Hamilton ketika sidang media.
AFP

Suzuka, Jepun: Ketika Lewis Hamilton seronok menikmati kemenangan berturut-turut di Jepun dan kejayaan menyamai rekod 41 kemenangan Ayrton Senna, rakan sepasukannya di Mercedes, Nico Rosberg berdepan dua minggu sukar memikirkan semula kerjayanya.

Rosberg sedar dia melepaskan peluang keemasan untuk merapatkan jurang dengan juara dunia itu dalam perlumbaan Formula Satu kelmarin selepas gagal menterjemahkan permulaan di petak utama kepada 25 mata di Suzuka.

Hamilton melonjak mengatasi Rosberg di selekoh pertama dalam permulaan menakjubkan dan meninggalkan jauh lawannya ketika pemandu Jerman itu berakhir di tangga kedua di belakang musuhnya yang kini menikmati kelebihan 48 mata dengan baki lima perlumbaan.

Rosberg yang diberi amaran bos Mercedes tahun lalu selepas berlanggar dengan Hamilton, tidak langsung membantah terhadap Hamilton yang cuba memaksanya keluar litar pada selekoh kedua.

“Di selekoh kedua Lewis berada di garisan dalam dan menyukarkan saya,” kata Rosberg. “Ia berakhir di situ.”

Keputusan 1-2 buat Mercedes melenyapkan kekecewaan di Singapura seminggu sebelumnya apabila jentera Silver Arrows mengalami misteri kehilangan rentak, Hamilton terkeluar kerana masalah teknikal dan Rosberg berakhir di tangga keempat.

Namun kelebihan psikologi dimiliki Hamilton ke atas Rosberg berikutan kemenangan kelapan dalam 14 perlumbaan tahun ini pasti menjejaskan peluang kejuaraannya sebelum mereka meneruskan pertarungan pada Grand Prix Russia di Sochi dua minggu lagi.

“Penting untuk menang tapi ia tidak menjadi,” kata Rosberg. “Saya hanya perlu cuba menang selepas ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 5:55 AM