AFP

Suzuka, Jepun: Lewis Hamilton (gambar) akan berjuang hingga ke akhirnya untuk merebut gelaran Formula Satu, tegas pemilik Mercedes Toto Wolff selepas pemandu Britain itu tewas berikutan aksi bertenaga Nico Rosberg di Jepun.

Rosberg melebarkan jurang 33 mata di depan musuhnya dari Britain dengan berbaki empat perlumbaan dan dijangka terus mempamerkan aksi hebatnya.

Biarpun harapan Hamilton untuk mempertahankan gelarannya semakin tipis, Wolff meramalkan kebangkitan juara dunia tiga kali itu.

“Ia masih belum berakhir,” kata pemilik dari Austria itu yang tidak mempunyai banyak masa untuk meraikan kejuaraan ketiga berturut-turut Mercedes dalam kategori pengeluar di Jepun.

“Lewis akan bangkit dengan berani. Ada kalanya dia perlukan musuh. Begitulah cara dia berfungsi.”

Rosberg mendominasi sepanjang hujung minggu di Suzuka dan Hamilton bagaikan hilang rentak.

Pelumba Britain itu membayangkan kemungkinan berlaku sabotaj kerana kebakaran enjin yang merampas peluangnya muncul juara di Malaysia seminggu sebelum itu, dan ia mengecewakan pasukan Mercedes.

Tindakan Hamilton menjadi semakin pelik di Jepun apabila bangkit merebut tempat ketiga selepas permulaan buruk yang menyebabkannya berada di tempat kelapan.

Dia tidak mempedulikan media selepas dikritik menggunakan telefon pintar dan memuat naik gambar ke Snapchat ketika sidang media FIA.

Tabloid Britain melepaskan kemarahan kepada Hamilton, satu daripadanya melabelnya sebagai ‘Snap-Prat’ dan satu lagi ‘Berk in the Merc’ yang bermaksud ‘bodoh’.

Hamilton kemudiannya meninggalkan media selepas mengugut akan mengurangkan aktiviti media pada masa depan.

“Anda tidak akan tersenyum lagi,” katanya sebelum meninggalkan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2016 @ 8:52 AM