PENGUNJUNG berpeluang mengetuk piuter di School of Hard Knocks.
PENGUNJUNG berpeluang mengetuk piuter di School of Hard Knocks.
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi


Kuala Lumpur memang mempunyai banyak tempat menarik untuk dikunjungi, antara yang po­pular ialah Royal Selangor.

Royal Selangor menjadi tumpuan kerana ia mudah dikunjungi pelancong tanpa perlu bersesak-sesak atau mengharungi perjalanan yang memenatkan.

Jika anda mengunjungi Royal Selangor di Setapak Jaya, Kuala Lumpur bersama keluarga, pastikan membekalkan anak anda buku nota bagi memudahkan mereka melakukan catatan ringkas.

Selain melancong anda mendapat banyak ilmu pe­ngetahuan di Royal Selangor.

Sejarah

Mengikut Wikipedia, Royal Selangor adalah nama produk barangan piuter yang terkenal di Malaysia dan masyhur di seluruh dunia.

Pada awalnya, ia dikenali sebagai Selangor Pewter. Namun atas perkenan Sultan Selangor Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, namanya diubah menjadi Royal Selangor pada 1992.

Ringkasnya Royal Selangor Pewter di­asaskan pada 1885 oleh seorang pemuda China berketurunan Hakka bernama Yong Koon.

Dengan memiliki lebih 500 artisan mahir, kilang syarikat itu kemudiannya mengukir nama sebagai kilang piuter terbesar di dunia.

Tarikan

Pengunjung ke Pusat Pelawat Royal Selangor boleh cuba membentuk atau me­ngetuk piuter yang disediakan di School of Hard Knocks.

Dengan bayaran RM50 seorang, pengunjung perlu mendaftar dan diberi penerangan ringkas untuk menghasilkan mangkuk piuter sendiri menggunakan peralatan tradisional berusia lebih 100 tahun. Hasil kerja tangan itu nanti boleh dibawa pulang bersama sekeping sijil.

Selain mengetuk piuter, pengunjung juga boleh merasai pelbagai tekstur piuter di Hall of Finishes atau mendengar penjelasan bagi menyelami perbezaan resonan bunyi antara piuter dengan material organik dan metalik yang serupa di Kamar Loceng.

Melengkapkan pengeta­huan, pengunjung boleh menyaksikan kepelbagaian koleksi bingkai gambar Royal Selangor di Dewan Bingkai Gambar serta mengetahui nilai atomik bijih, antimoni dan tembaga di sudut Sains Piuter.

Sebagai bukti anda dan keluarga pernah ke Pusat Pelawat Royal Selangor, jangan lupa untuk merakam foto di samping gelas terbesar di dunia yang dicatat di dalam Buku Rekod Malaysia dan Buku Rekod Dunia Guinness.

Gelas gergasi setinggi 1.987 meter itu mempunyai berat mencecah lebih 1.5 kilogram dan boleh menampung 2,796 liter cecair.

Gelas ini pernah mengembara ke banyak tempat di dunia seperti Kanada, Australia, Singapura dan China.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 1:05 PM