Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Nilai: Polis meminta orang ramai tidak menyebarkan spekulasi wujud cubaan culik terhadap seorang murid perempuan 10 tahun di sebuah sekolah rendah di daerah ini sepertimana tersebar di Facebook, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin berkata, tidak wujud kes seperti didakwa sebaliknya hanya masalah keluarga dan perebutan anak.

Katanya, dalam kejadian 12 tengah hari itu, seorang lelaki bertindak ke sekolah berkenaan dan memberitahu guru mahu menjemput budak terbabit.

Menurutnya, bagaimanapun guru yang curiga menghubungi ibu budak terbabit dan terkejut dimaklumkan tidak mengarahkan sesiapa menjemputnya.

"Siasatan dibuat polis tidak menampakkan wujud cubaan culik tetapi membabitkan perebutan anak dan masalah keluarga.

"Polis kecewa apabila ada pihak menyebarkan spekulasi kononnya wujud cubaan di sekolah rendah itu," katanya dalam sidang media di Balai Polis Nilai, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2015 @ 12:48 PM