Petaling Jaya: Saingan Kumpulan C Piala Malaysia dilabel ‘Kumpulan Maut’ dengan tiga pasukan Liga Super yang mempunyai kemampuan hampir sama, bersaing memburu dua tiket ke suku akhir.

Selangor yang menduduki tempat ketiga Liga Super yang juga juara 32 kali Piala Malaysia mengetuai Kumpulan C, diikuti FELDA United, Kelantan dan T-Team.

Selangor kendalian Mehmet Durakovic pastinya mahu menamatkan kemarau kejuaraan Merah Kuning sejak beberapa musim lalu dan Piala Malaysia kini menjadi harapan terakhir.

“Saya melihat kumpulan ini seimbang. Saingan akan hadir menerusi Kelantan dan FELDA United namun kemampuan T-Team tidak boleh dipandang rendah kerana mampu memberikan tentangan hebat.

“Saya berharap Misi 33 akan tercapai kali ini walaupun ada sedikit tekanan selepas gagal sebelum ini. Kami terus mencuba kali ini,” kata penolong jurulatih Selangor Anuar Abu Bakar.

Saingan pastinya hadir menerusi naib juara Piala FA Kelantan yang dilihat semakin mempamerkan kebangkitan sejak kebelakangan ini.

Pemangku ketua jurulatih Kelantan Zahasmi Ismail berjanji mahu memberikan aksi terbaik untuk melepasi saingan peringkat kumpulan terlebih dulu.

FELDA United kendalian jurulatih berpengalaman Irfan Bakti Abu Salim turut memiliki ramuan lengkap untuk mara lebih jauh.

Namun T-Team juga dilihat berkemampuan melakar kejutan dengan jurulatihnya Tomislav Steinbruckner mahu mengejutkan tiga pasukan Liga Super itu.

“Setiap perlawanan sukar, saya berharap kami mampu bersedia dengan baik dan melakukan kejutan ke atas mana-mana pasukan untuk meraih mata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 9:34 AM