AHMAD Zahid Hamidi. FOTO Sairien Nafis
AHMAD Zahid Hamidi. FOTO Sairien Nafis
Oleh Norul Awatif Romli


Sintok: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) akan dinaiktaraf menjadi jabatan dikenali Agensi Keselamatan Sempadan sebagai entiti baru yang dikhaskan bagi menjalankan tugas di sempadan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kewujudan agensi seumpama itu bukan satu langkah aneh atau janggal, malah terbukti berkesan seperti mana diamalkan di United Kingdom (UK).

Bagaimanapun, katanya, ia masih dalam peringkat kajian sebelum dibawa ke peringkat kabinet untuk kelulusan dan percaya kewujudan agensi baru itu adalah pilihan terbaik kerajaan bagi membanteras rasuah sempadan serta memastikan sempadan tidak dicerobohi.

"Jenayah penyeludupan adalah satu bentuk pelanggaran undang-undang sangat kompleks dan semakin mencabar. Kepelbagaian kaedah dan teknologi yang diguna pakai oleh penjenayah menuntut pihak kerajaan mengorak langkah secara lebih bersistematik serta holistik untuk memerangi dan melumpuhkan aktiviti mereka.

"Berdasarkan statistik diperoleh dari unit UPP terdapat peningkatan jumlah rampasan barangan iaitu RM 17 juta pada 2013 diikuti RM18 juta tahun lalu dan meningkat kepada RM38 juta hingga Ogos lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Mu'adzam Shah UUM, hari ini.

Katanya, imbuhan juga disediakan kepada kakitangan dan pegawai agensi baru itu nanti sebagai insentif kepada mereka sekiranya berjaya mengurangkan jenayah penyeludupan dan pemerdagangan manusia.

"Adalah sesuatu imbuhan yang akan saya berikan kepada mereka nanti... ini janji saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2015 @ 5:56 PM