ANTARA herba yang digunakan untuk pembuatan jamu Salina Sari Health & Beauty.
ANTARA herba yang digunakan untuk pembuatan jamu Salina Sari Health & Beauty.
PELBAGAI jenis ulam-ulaman bersama air herba untuk awet muda.
PELBAGAI jenis ulam-ulaman bersama air herba untuk awet muda.
MINUM air inai, serai, pegaga dan mangga untuk melancarkan perjalanan darah.
MINUM air inai, serai, pegaga dan mangga untuk melancarkan perjalanan darah.
NALIZA (kanan) bersama kakaknya, Salina mengamalkan air herba untuk kekal bertenaga dan awet muda.
NALIZA (kanan) bersama kakaknya, Salina mengamalkan air herba untuk kekal bertenaga dan awet muda.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Melihat bentuk badan yang langsing dengan kulit tegang tanpa sebarang masalah, sudah pasti wanita ini mempunyai rutin pemakanan sihat yang menjadi amalan sejak dulu lagi. Ketika ditanya rahsianya untuk kekal awet muda, Salina Sari Ghazali, 44, menunjukkan beberapa jenis sayuran serta minuman berasaskan tumbuhan herba yang diamalkan sejak berusia 19 tahun.

Di atas meja kelihatan daun pegaga, serai, pandan, selom, petai, air inai, serai serta mangga yang menjadi minuman hariannya. Jika orang lain menganggap ia pahit, tetapi Salina tidak pernah menolak untuk menikmatinya setiap hari lantaran mengetahui khasiat yang terkandung di dalam secawan minuman herba ini.

"Ketika berusia 19 tahun, saya gemar melihat wanita cantik yang kelihatan muda daripada usia. Saya bertanya makanan mereka dan mencari maklumat mengenai amalan pemakanan sihat menerusi Internet. Kebanyakan mereka mengakui makan banyak sayur-sayuran hijau dan ulam mentah," katanya.

Mengetahui khasiat pegaga, Salina cuba menghasilkan jus pegaga dengan mengisar bersama akarnya dan diminum setiap pagi. Selepas dua minggu dia mula merasakan perbezaannya. Badan semakin ringan, kulit lebih halus dan merawat masalah keputihan. Begitu juga dengan jus serai yang baik untuk pertahanan badan kerana kaya kandungan antibakteria dan antikanser, sekali gus melancarkan peredaran darah.

Oleh kerana ibu, Nadrah Syed Ali, 69, adalah pengusaha jamu Arab yang diperturunkan daripada nenek moyang sejak 100 tahun lalu, jadi sedikit sebanyak Salina mengikuti petua yang diamalkan ibunya. Malah, mereka adik-beradik sejak kecil jarang mengambil makanan segera atau membeli makanan yang dijual di luar kerana khuatir tahap kesihatannya.

Oleh kerana tidak terdedah dengan makanan yang dijual di kedai, Salina memasak sendiri di rumah dengan menjadikan sayur-sayuran sebagai bahan utama serta ikan atau ayam sebagai sumber protein. Cara memasak juga lebih kepada merebus, mengukus dan membakar atau dimakan mentah.

"Untuk sayur-sayuran, kami sekeluarga gemar mengambilnya secara mentah seperti tomato, kubis, kacang panjang, pegaga dan semua jenis ulam-ulaman yang menjadi makanan wajib dalam setiap hidangan. Bagi menjaga khasiatnya, saya pastikan sayur tidak dimasak terlalu lama kerana ia menghilangkan nutrisi di dalamnya. Sebaiknya, ia dimasak sekejap dalam dua hingga tiga minit agar ia masih rangup dan tidak layu.

"Untuk menguatkan gigi saya mengamalkan limau yang dimakan bersama kicap. Kulit limau yang berasid dan keras sebenarnya baik untuk gusi dan gigi," katanya.

Ramai orang tidak tahu daun pandan dan mangga mempunyai banyak khasiat. Caranya dengan merebus daun pandan, dicampur madu dan diminum setiap hari bagi mengawal kenaikan berat badan. Begitu juga daun mangga yang boleh menggantikan teh. Aroma daun ini memberi kesegaran kepada peminumnya.

Selain amalan pemakanan yang dijaga sejak berusia belasan tahun, Salina juga percaya bahan utama di dapur sebenarnya boleh dijadikan perawatan kulit wajah. Tomato yang dikatakan kaya antioksidan sangat bagus untuk melicinkan kulit.

Sapuan tomato setiap hari pada kulit wajah mampu menjadi pupur terbaik kulit. Jika diamalkan setiap hari lama-kelamaan kulit lebih cerah, mengurangkan kesan jerawat dan mengatasi kulit berminyak. Begitu juga putih telur yang mampu menjadi topeng wajah terbaik.

"Caranya sapu putih telur pada kulit dan biarkan 15 minit kemudian bilas dengan air. Ia bukan saja menjadikan kulit lebih tegang, tetapi halus dan cantik. Agar wajah kelihatan berseri, saya minum air inai untuk mengembalikan perjalanan darah, menjadikan kulit kemerah-merahan dan bercahaya," ujarnya yang menasihati wanita supaya kembali kepada amalan nenek moyang yang diakui berkesan bukan saja untuk kecantikan, tetapi kesihatan badan.

Dengan pelbagai produk di pasaran yang tidak diketahui keberkesanannya serta penggunaan bahan terlarang, menggunakan bahan semula jadi langkah terbaik bagi mengekalkan keremajaan wanita.

Minum air selepas bangun tidur

Salina yang juga pengeluar jamu di bawah jenama Salina Sari Health & Beauty turut mengamalkan minum air kosong sebaik saja bangun tidur dua hingga tiga gelas sehari bersama dua sudu madu.

"Sebaiknya ia dilakukan sebelum menggosok gigi atau menjamah makanan. Enzim yang terhasil dalam air liur dikatakan bagus untuk antibodi dan membantu melancarkan peredaran darah. Amalan minum air setiap pagi dan sebelum tidur membawa banyak kebaikan kepada tubuh.

"Walaupun ia menyebabkan kerap membuang air, proses perkumuhan ini menyahtoksin menerusi pembuangan air kecil," jelasnya yang mula bersarapan dengan roti buah-buahan atau bijirin.

Dia jarang mengambil nasi kerana tidak melakukan kerja berat selepas itu. Berbeza dengan wanita pada zaman dulu yang pergi ke kebun, membanting tulang di sawah atau menoreh getah kerana tenaga dan lemak terbakar menerusi aktiviti sihat ini.

"Untuk itu, saya sarankan wanita dan ibu berkerjaya melakukan senaman ringan seperti berjoging atau berenang untuk badan yang sihat dan kekal langsing. Jangan lupa senaman kegel untuk keintiman suami isteri," sambungnya.

Bagi Naliza Sari Ghazali, 39, dia mula mengalami masalah berat badan ketika di sekolah rendah. Oleh kerana anak bongsu, dia makan apa saja termasuk makanan segera sehingga berat badan mencecah 80 kilogram (kg). Namun ketika melahirkan anak pertama, dia mula tersedar untuk mengurangkan berat badan.

"Ketika dalam pantang saya mengamalkan jamu gentel yang dihasilkan ibu. Antara kandungan jamu ini adalah jintan manis, jintan putih, bunga lawang, buah pala, pelaga, lada hitam, cengkih sehingga 23 jenis rempah yang dikisar kemudian dijadikan bebola kecil," katanya yang mengamalkannya sehingga berat badan turun kepada 55kg.

Ujar Naliza, dia sangat gembira dengan perubahan ini kerana tidak lagi sukar berjalan dan badan kembali cergas terutama ketika melakukan kerja rumah. Paling penting walaupun tidak mengambil sebarang pil pelangsing dan hanya mengamalkan makanan sihat, dia membuktikan mampu mendapat berat ideal.

"Dengan berat badan sekarang, saya perlu menjaga makanan kerana tidak mahu kembali kepada berat badan asal. Saya melebihkan sayur-sayuran dalam hidangan serta mengambil kubis, tomato dan ulam-ulaman yang dimakan secara mentah selain minum jus delima dan habatus sauda. Untuk sarapan, saya hanya mengambil roti dan bijirin serta makan malam sekitar jam 7 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 5:02 AM