PENGAMBILAN sayur-sayuran dan buah-buahan mempunyai kandungan air yang tinggi membantu meningkatkan kesihatan kulit anda.
PENGAMBILAN sayur-sayuran dan buah-buahan mempunyai kandungan air yang tinggi membantu meningkatkan kesihatan kulit anda.
Hartini Mohd Nawi


MEMBIARKAN badan anda mengalami penyahhidratan boleh menyebabkan kekeringan kulit. Keadaan ini mungkin bertambah teruk akibat gelombang haba yang ketika ini masih melanda negara.

Kekeringan dialami kerana kulit mengandungi kira-kira 30 peratus air yang memberikan ciri-ciri kegebuan, keanjalan dan ketahanannya.

Kulit yang mendapat bekalan air secukupnya akan kelihatan lebih sihat.

Menurut Pakar Pemakanan, Ahli Lembaga Penasihat Dietetik dan Lembaga Pemakanan Luar, Herbalife Nutrition, Aria Novitasari, terdapat banyak cara untuk memastikan penghidratan kulit pada tahap yang sewajarnya.

"Ia termasuk menggunakan produk penjagaan kulit yang bersesuaian dengan jenis kulit anda dan menikmati makanan yang baik untuk kesihatan kulit.

"Jika kulit anda kelihatan kering, menggelupas atau rengsa, mungkin sudah tiba masanya untuk anda menilai semula tabiat makanan dan minuman anda," katanya.

Setiap hari, pastikan anda minum sekurang-kurangnya lapan gelas air. Selain daripada air, minuman lain juga boleh termasuk teh, susu dan kopi.

"Kulit anda juga pasti lebih berseri jika anda menikmati diet yang kaya dengan antioksidan seperti Vitamin A, C dan E," katanya.

Anda tertanya-tanya di mana untuk bermula? Berikut adalah senarai makanan yang mengandungi banyak air yang boleh anda cuba dalam cuaca panas:

1. Tembikai

Tembikai ialah buah yang mengandungi banyak air (lebih daripada 90 peratus) dan mengandungi mineral dan fitokimia seperti likopena, vitamin C dan beta karotena yang semuanya membantu menjaga kesihatan kulit .

Malah, jika dibandingkan dengan tomato, strawberi atau jambu batu, tembikai membekalkan jumlah antioksidan yang tinggi. Anda boleh menikmati tembikai sepanjang tahun sebagai snek atau mencampurkan buah ini dengan ramuan lain untuk menyediakan minuman smoothie yang lazat dan menyegarkan.

2. Oren

Buah-buahan mempunyai aneka rasa, termasuk masam dan manis, selain mempunyai tekstur yang berbeza. Oren sememangnya pilihan sesuai untuk dimasukkan dalam senarai membeli-belah atau bakul buah anda di rumah.

Seperti tembikai, oren mengandungi banyak air (80 hingga 89 peratus) dan juga vitamin C. Anda boleh makan oren di mana-mana saja dan mengupasnya tanpa memerlukan pisau.

3. Sayur-sayuran

Tahukah anda bahawa sayur-sayuran juga memainkan peranan dalam kesihatan kulit? Ada sayur tertentu mempunyai kandungan air yang tinggi seperti bayam (90 hingga 99 peratus) selain lobak merah dan brokoli (80 hingga 89 peratus). Pastikan sayur-sayuran menjadi sebahagian dari

pada makanan harian anda.

4. Yogurt

Adakah anda pernah terfikir bahawa selain daripada menyokong kesihatan penghadaman, yogurt juga membekalkan cecair kepada badan? Satu sajian yogurt mengandungi kira-kira 80 hingga 89 peratus air.

5. Jeruk

Jeruk atau acar sering diambil sebagai pembuka selera dan sebagai penambah rasa. Tahukah anda bahawa jeruk juga membekalkan air dalam pemakanan keseluruhan anda?

Jeruk mengandungi 90 peratus air. Jumlah ini diperoleh daripada proses penapaian yang merangkumi langkah menambah bentuk cecair dan perasa lain untuk membantu mengekalkan serta menambah kandungan air.

6. Salad buah dan sayur

Pupuk tabiat baharu seperti menikmati salad sebagai pembuka selera atau sebahagian daripada sajian anda. Anda boleh mencuba salad buah, salad sayur atau campuran kedua-duanya.

Selain daripada membuka selera, salad yang mengandungi buah dan sayur segar juga membekalkan air kepada badan anda. Malah daun salad yang sering digunakan dalam salad sayur merangkumi lebih daripada 90 peratus air.

7. Sup

Sup ialah satu lagi sajian pembuka selera yang boleh anda hidangkan di atas meja makan. Semangkuk sup panas sebelum makan malam boleh mempersiapkan sistem penghadaman anda untuk sajian utama.

8. Minuman smoothie atau 'shake protein'

Pengambilan minuman shake ialah cara yang mudah dan berkesan untuk meningkatkan pengambilan cecair. Anda boleh menyesuaikan minuman mengikut cita rasa anda.

Jika buah kegemaran anda tiada dalam senarai, anda boleh mencampurkan ramuan anda sendiri atau menambah serbuk protein. Banyak buah bukan sahaja mengandungi banyak air, tetapi turut membekalkan serat.

Anda juga boleh menyediakan minuman shake mengikut cita rasa tempatan!

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2023 @ 7:00 AM