AHMAD Shabery melihat contoh tongkat ali sambil diperhatikan Ahmad Zakaria (kanan).
AHMAD Shabery melihat contoh tongkat ali sambil diperhatikan Ahmad Zakaria (kanan).
AHMAD Shabery melawat ladang herba belalai gajah di Sendayan.
AHMAD Shabery melawat ladang herba belalai gajah di Sendayan.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Penggunaan herba kian mendapat tempat dalam kalangan masyarakat yang peka terhadap penjagaan kesihatan selain pertambahan jumlah petani moden mengusahakan tanaman itu.

Berikutan permintaan tinggi terhadap herba yang dijadikan perubatan tradisional, produk penjagaan diri dan pemakanan kesihatan tambahan, ramai usahawan mula menceburi industri herba untuk menghasilkan produk bermutu tinggi bagi memudahkan pengguna mendapatkannya.

Kerajaan menerusi inisiatif Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) berhasrat membangunkan produk herba bernilai tinggi bagi meningkatkan keupayaan eksport negara.

Ia bertepatan dengan penganjuran Seminar Pengeksportan Dalam Industri Herba 2015 membabitkan 180 peserta daripada usahawan, pengilang, pemborong dan pengeksport serta agensi yang terbabit dalam pelaksanaan industri herba.

Seminar itu membentangkan 20 kertas kerja yang menjelaskan strategi pengeluaran, peningkatan produk, peranan dan perkhidmatan agensi serta pelan laluan pengeksportan herba.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kerajaan memfokuskan 17 jenis herba melalui Projek Keutamaan Permulaan (EPP) 1: Produk Herba Bernilai Tinggi yang boleh diusahakan petani dan usahawan tempatan.

Beliau berkata, antara herba yang difokuskan ialah kacip fatimah, dokong anak, misai kucing, hempedu bumi, belalai gajah, gelenggang, roselle, mengkudu, pegaga, mas cotek, halia, sambung nyawa, kaduk, peria katak dan senduduk putih.

“Berdasarkan potensi industri itu, kementerian menggariskan industri herba sebagai industri baru yang akan dibangunkan secara komersial di bawah Hala Tuju Strategik 2: Meningkatkan Sumbangan Industri Agromakanan, Dasar Agro Makanan.

“Bagi memacu pertumbuhan industri sebagai hab herba, kerajaan memperkasa kualiti produk dan pemasaran untuk menembusi pasaran antarabangsa serta menjana pendapatan negara sebanyak RM2.2 bilion menjelang 2020.

“Sasaran kita untuk menjadikan tanaman herba mampu memberi sumbangan besar kepada Program Transformasi Kerajaan (GTP) sebanyak RM2.2 bilion menjelang 2020,” katanya ketika berucap merasmikan seminar itu di Klana Resort, Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek.

Menurutnya, daripada jumlah itu, RM1.3 billion bagi tujuan eksport dan ia akan memberi sumbangan besar kepada negara secara keseluruhannya.

“Eksport penting kepada negara kerana ia mempunyai pulangan berganda dan mampu meningkatkan pendapatan negara selain memberi keuntungan kepada usahawan dan membuka peluang pekerjaan.

“Malah, negara kini mempunyai 12,000 spesies tanaman herba kerana biodiversiti Malaysia, malah negara berpotensi menghasilkan 15,000 spesies daripada 17,000 spesies herba yang ada nilai farmaseutikal tinggi,” katanya.

Beliau berkata, usaha meningkatkan spesies tanaman herba memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Jabatan Perhutanan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi menjalankan kajian selain mendapatkan kandungan tepat.

“Ada lebih 400 hektar tanah sudah disediakan di Pasir Raja, Terengganu, dan Kuala Lipis, Pahang di bawah Majlis Pembangunan Ekonomi Luar Pantai Timur untuk penanaman herba.

“Kita tentukan tempat sesuai untuk menjadi sasaran tanaman herba. Ini perkara yang diusahakan kerajaan untuk membasmi kemiskinan. Apabila ada industri baru yang berpotensi ia akan menjana pendapatan dan menghasilkan pekerjaan.

“Namun, kita tidak boleh bergantung pada pekerjaan dihasilkan kerajaan saja, tetapi perlu dijana oleh syarikat swasta.

“Jika syarikat swasta nak menjana pendapatan mesti ada industri dan industri itu pula mesti berkembang, ini satu daripada sasaran kerajaan,” katanya.

Ahmad Shabery berkata, industri herba antara sumber kekayaan negara yang boleh dinikmati rakyat.

“Industri herba bukan saja memberi peluang pekerjaan tetapi pada masa sama menyumbang pada kesihatan dan kebahagiaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2015 @ 8:35 AM