PENERBIT dan pengacara bersama barisan kru program.
PENERBIT dan pengacara bersama barisan kru program.
Oleh Nor Akmar Samudin


Jangan tunggu sehingga usia tua baru mahu ke Tanah Suci Makkah mengerjakan haji dan umrah. Itulah antara bingkisan yang cuba disampaikan kepada golongan muda agar memasang niat mengerjakan fardu haji pada usia muda yang disisipkan dalam program Labbaikallah dan bakal bersiaran di TV AlHijrah pada musim haji ini.

Diterbitkan sempena kempen Kembara Suci Aidiladha 1436H, Labbaikallah yang masuk musim kelima menyajikan panduan me­ngerjakan haji secara santai mudah difahami semua golongan penonton termasuk remaja.

Pengurus Pengisian Islam TV AlHijrah Tengku Muhammad Ismail Tengku Ibrahim berkata, program panduan mengerjakan haji dan umrah sebelum ini agak terbatas untuk mereka yang berusia 40 tahun ke atas saja.

Tanpa mengetepikan ilmu agama, kata Tengku Muhammad Ismail yang ditemui pada pelancaran program itu baru-baru ini, mereka menyediakan empat segmen dalam program yang bersiaran langsung selama sejam itu. Antaranya, pendakwah jemputan, pengalaman bekas haji, berita daripada Makkah dan kuiz.

“Sebagai tarikan kepada penonton, peraduan kuiz menyediakan pelbagai hadian menarik termasuk pakej umrah. Kami juga tidak memilih dalam kalangan ustaz untuk mengacarakan program itu sebaliknya selebriti TV terkenal iaitu Nizal Muhammad untuk bertanyakan soalan kepada ustaz jemputan bagi mewakili penonton.

“Janggal melihat tokoh agama yang sudah tahu serba-serbi bertanya kepada ustaz undangan mengenai hukum haji dan sebagainya,” katanya.

Kuiz untuk penonton di luar studio dikendalikan pengacara yang akrab dipanggil Ahmad dengan mengutarakan soalan berkisar rukun Islam kelima itu dan ibadah umrah kepada remaja.

“Penonton juga akan menerima pakej umrah berdasarkan kuiz soalan terkumpul yang akan diberi pada setiap episod selama 14 hari berturut-turut,” katanya.

Kata Tengku Muhammad Ismail lagi program itu sesuai ditonton kepada mereka yang sudah mengerjakan haji, akan melakukannya dan yang menunggu ­panggilan untuk ke sana,” katanya.

Labbaikallah mula disiarkan Jumaat lalu hingga 24 September ini, bermula jam 8.30 malam di saluran Astro 114.

Program lain di bawah kempen Kembara Suci Aidiladha 1436Hitu, Ihram Suci, Kain Ihram, Dakwah Tanpa Sempadan, Dari Rembau Ke Riau, Dr Muhaya Dot Com, Masam Masam Manis, Pentas Dakwah, Reflections dan telefilem Nasi Dagang Lembu Korban.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2015 @ 5:06 AM