CIRI mewah dan bergaya.
CIRI mewah dan bergaya.

Model paling laris dalam kenderaan premium, Lexus ES hadir menerusi ciri yang dipertingkat­kan dengan menekankan aspek gaya, kemewahan dan keselamatan.

Lexus ES ditawarkan dalam tiga varian iaitu ES 250 Premium, ES 250 Luxury dan ES 300h tampil pada jeriji gelendong yang memberi imej mewah, selain kelihatan sedikit lebar berbanding model terdahulu.

Padanan Lampu Nyalaan Siang (DRL) yang berbentuk muncung anak panah memberi ciri unik serta menggunakan teknologi lampu hadapan projektor LED untuk memberi pencahayaan lebih baik, malah tidak mengganggu penglihatan pemandu pada arah bertentangan.

Perumah lampu belakang pula kini hadir dengan bentuk ‘L’ yang menjadi satu identiti kepada model Lexus ES.

Jentera berkenaan tampak lebih tegap apabila semua varian Lexus ES ditawarkan dengan rim 17 inci yang lebih ringan.

Ruangan dalaman pula dipertingkatkan dengan mengutamakan imej kualiti dan keanggunan. Perapi ‘Birdseye Maple Wood’ kini adalah ciri standard pada semua varian, sekali gus menyerlahkan lagi rasa kemewahannya.

Selain itu, Paparan Pelbagai Informasi antara meter kelajuan dan takometer lebih besar sehingga 4.2 inci berbanding 3.5 inci sebelum ini.

Selain itu, ciri keselamatannya dipertingkatkan selepas dilengkapi Paparan Sudut Buta dengan Pengawasan Trafik Melintas di Belakang.

Bagaimanapun tiada perubahan yang dilakukan pada rangkaian enjin, tetapi sistem suspensi belakang diubah bagi menyesuaikan untuk memberi kestabilan serta keselesaan pengendalian.

Sementara itu, Presiden UMW Toyota Motor Sdn Bhd, Datuk Ismet Suki berkata, Lexus Malaysia menjual lebih 1,000 unit kenderaan sehingga Julai lalu, sekali gus menaikkan kedudukan jenama itu ke tangga ketiga dalam jualan segmen kenderaan mewah tempatan.

Menurutnya, tempahan Lexus ES baru di Malaysia bermula pada akhir Julai lalu dengan lebih 100 tempahan diterima dan varian ES 250 Luxury muncul paling popular.

Katanya, pihaknya turut me­nyasar menjual 750 unit ES menjelang akhir tahun ini dan yakin mencapai sasaran jualan keseluruhan 2,200 unit bagi 2015.

Harga atas jalan termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tanpa insurans di Semenanjung ialah RM355,100 bagi varian ES 300h, ES 250 Luxury (RM278,600), dan ES 250 Premium (RM259,200).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2015 @ 5:02 AM