PELBAGAI aktiviti keluarga disediakan sepanjang berlangsungnya pesta Chibi Maruko Chan ini.
PELBAGAI aktiviti keluarga disediakan sepanjang berlangsungnya pesta Chibi Maruko Chan ini.
PENGUNJUNG Pavilion berpeluang menikmati makanan dan permainan menarik di Tokyo Street.
PENGUNJUNG Pavilion berpeluang menikmati makanan dan permainan menarik di Tokyo Street.
PERARAKAN pakaian kimono dan yukata sambil diiringi ‘Happy Dance’ meriahkan lagi suasana Pesta Chibi Maruko Chan.
PERARAKAN pakaian kimono dan yukata sambil diiringi ‘Happy Dance’ meriahkan lagi suasana Pesta Chibi Maruko Chan.
Oleh Nor Faizah Mohamed

Hello Kitty, Doraemon dan Ultraman antara watak atau karakter kartun Jepun yang popular dalam kalangan populasi dunia. Saban bulan di setiap ceruk rantau pasti ada festival atau aktiviti menarik bagi meraikan signifikannya watak menarik ini dalam kehidupan harian.

Bagi Generasi X, ia antara memori indah sepanjang zaman kanak-kanak dan hingga kini majoriti masih ingat setiap bait lirik lagu tema bagi watak kartun ini.

Chibi Maruko Chan juga antara figura kartun Jepun yang digemari terutama kanak-kanak perempuan. Biarpun tidak segah yang lain, program televisyen Chibi Maruko Chan turut ditonton pelbagai peringkat usia.

Selain memaparkan kehidupan harian di Jepun, watak Manga Jepun ini turut menceritakan mengenai hubungannya bersama keluarga dan rakan sebaya.

Justeru bagi meraikan lebih tiga dekad kewujudannya selaku ikon manga dunia, Pavilion menganjurkan Pesta Chibi Maruko Chan bertema festival musim panas, baru-baru ini.

Pesta musim panas ini turut diadakan sempena menyambut ulang tahun keempat Tokyo Street iaitu bahagian di tingkat atas Pavilion yang memberi pengkhususan kepada jenama, produk dan segala berkaitan dengan Jepun.

Jelas Ketua Pegawai Eksekutif Peruncitan Pavilion, Joyce Yap, Tokyo Street bukan saja menjadi antara lokasi utama peminat jenama atau produk dari Jepun, malah bertindak sebagai ruang untuk program sosial seperti festival dan bengkel.

“Dalam tempoh empat tahun, Tokyo Street mengukuhkan namanya sebagai destinasi untuk apa jua jenama dan produk Jepun. Setiap bulan juga diadakan variasi program yang seiring dengan apa yang berlaku di Jepun supaya peminatnya di Malaysia dapat sama merasai keseronokannya.

“Chibi Maruko Chan dipilih bagi festival musim panas di Tokyo Street kali ini kerana pengaruhnya yang kuat dalam kalangan masyarakat Jepun.

“Sepanjang berlangsungnya pesta ini, Chibi Maroku Chan membuat beberapa penampilan dan pengunjung berpeluang bergambar dengannya.

“Menerusi pesta ini, pengunjung boleh menikmati pelbagai makanan dan permainan menarik seperti wanage yang biasanya diadakan ketika cuti musim panas di sana,” katanya.

Duta Jepun ke Malaysia, Makio Miyagawa merasmikan pesta itu di depan pintu masuk Pavilion yang disusuli dengan upacara tradisional Kagami Biraki.

Upacara ini dilakukan dengan memecahkan bekas air berisi sake sebagai simbolik kepada tuah dan meraikan kegembiraan berpesta.

Tidak ketinggalan diadakan perarakan pakaian tradisional Jepun, kimono dan yukata, sambil diiringi ‘Happy Dance’ atau Tarian Gembira yang dilakukan pada musim panas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2015 @ 8:29 AM