Agensi

PEMINAT komik manga ‘Chibi Maruko-chan’ berkabung hari ini berikutan kematian pencipta siri anime itu, Momoko Sakura, kerana kanser payudara, lapor agensi berita Jepun.

Sakura meninggal dunia awal bulan ini pada usia 53 tahun, menurut pengumuman syarikatnya, Sakura Production, kelmarin.

Selain daripada mencipta manga ‘Chibi Maruko-chan’, Sakura juga mendapat pengiktirafan ramai sebagai penulis dan penulis lirik.

Sakura menulis lirik tema lagu pertama siri anime ‘Odoru Ponpokorin’ yang kemudiannya mendapat sambutan besar dan menjual sebanyak 1.3 juta unit.

Beliau juga adalah seorang penulis esei popular dan tiga karangannya pada tiga tahun berturut-turut mulai 1991 dijual pada harga AS$1 juta (RM4.10 juta) setiap satu.

Sakura berasal dari bandar Shimizu atau kini dipanggil ‘Shimizu Ward,’ sebahagian daripada kota Shizuoka di wilayah Shizuoka.

Beliau mula dikenali sebagai artis manga pada 1984 dan memperkenal siri ‘Chibi Maruko-chan’ dalam majalah komik kanak-kanak perempuan, Ribon, pada 1986.

Episod baru kadangkala disiarkan beberapa tahun kebelakangan ini dan jumlah keseluruhan dijual melebihi 32 juta naskhah.

Maruko adalah gelaran kepada kanak-kanak perempuan gred tiga sekolah rendah yang tinggal di Shimizu dan nama sebenarnya ialah juga Momoko Sakura.

Siri kisahnya tertumpu kepada kehidupan kanak-kanak Sakura khususnya di sekolah dan rumah.

‘Chibi Maruko-chan’ kemudian diubah kepada siri anime di televisyen pada 1990 dan masih disiarkan hingga hari ini serta dijadual terus bersiaran selepas kematian Sakura.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 8:38 PM