REKAAN daripada peserta pertandingan pada tahun lalu.
REKAAN daripada peserta pertandingan pada tahun lalu.

Destinasi beli-belah premium di Malaysia, Pavilion Kuala Lumpur, baru-baru ini melancarkan Anugerah Pelajar Koleksi Sakura 2015 di Tokyo Street di bangunan pusat beli-belah itu.

Anugerah berprestij kali keempat itu yang dianjurkan Pavilion sebelum ini membariskan juri terdiri daripada model terkenal, Amber Chia dan pereka pakaian terkenal, Melinda Looi.

Sebagai anugerah yang diwujudkan bagi mempromosi kesenian, budaya, makanan dan fesyen dari Jepun, Tokyo Street berperanan sebagai landasan pertukaran kebudayaan antara Jepun dan Malaysia.

Selain di Malaysia, anugerah itu turut dijayakan di beberapa negara lain seperti Thailand dan Vietnam, manakala perancangan seterusnya adalah menganjurkannya di Indonesia.

Turut hadir pada pe­ngumuman pelancaran anugerah berkenaan ialah Menteri dan Naib Ketua Misi Kedutaan Jepun di Malaysia, Yoshinori Kodama; Produser Koleksi Sakura, Noriko Tabata; Pengarah Pemasaran Pavilion Kuala Lumpur, Kung Suan Ai dan pemenang Anugerah Kolek­si Sakura 2014, Qamarina Abdullah.

Pada pelancaran itu, tetamu serta pengunjung pusat beli-belah itu turut dihiburkan dengan persembahan istimewa tarian kimono serta hiasan bunga-bungaan indah.

Kung berkata, sebagai dedikasi kepada tema Jepun, Tokyo Street akan menjadi hab bagi kebudayaan Jepun di negara ini termasuk menjayakan aktiviti komuniti.

“Ini antara sebab kami memulakan anugerah ini. Sebagai antara pusat terkemuka fesyen di negara ini, kami akan terus me­nyokong anugerah seumpama ini melalui usaha pemasaran kami.

“Tidak dapat dinafikan, anugerah ini menjadi landasan untuk melahirkan bakat pereka fesyen muda selain memberi impak kepada industri fesyen negara,” katanya.

Pada tahun lalu, pertandingan itu menyaksikan penyertaan seramai 182 pereka dengan pemenangnya berpeluang menghadiri Pameran Anugerah Koleksi Sakura Asia di Jepun.

Tahun ini pula, pemenang anugerah berkenaan akan berpeluang menyaksikan acara sama yang bakal diadakan di Yokohama pada 2016.

Bagi yang berminat, sila layari laman http://www.facebook.com/PavilionKL, Twitter @Pavilion_KL, Instagram @PavilionKualaLumpur atau LINE @PavilionKL.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2015 @ 11:58 AM