GAMBAR contoh.
GAMBAR contoh.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri dan Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Cabaran menyediakan rumah yang mampu dimiliki kepada semua isi rumah menjadi tumpuan penggubal dasar dan sudah tiba masanya campur tangan serta-merta semua pihak berkepentingan bagi mentransformasikan lagi sektor perumahan di Malaysia.

Berdasarkan laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), mendapati pasaran perumahan Malaysia disifatkan sebagai ‘sangat tidak mampu dimiliki’, dengan harga rumah median 4.4 kali ganda pendapatan tahunan isi rumah sederhana.

Lazimnya, dalam pasaran mampu milik, harga rumah median ialah tiga kali ganda pendapatan tahunan isi rumah sederhana. Di Kuala Lumpur yang mempunyai pendapatan isi rumah sederhana adalah paling tinggi, definisi perumahan mampu milik pula ialah sekitar RM280,000.

Pengarah Penyelidikan Program Bandar KRI, Dr Suraya Ismail berkata, julat median harga bagi perumahan ‘berat sebelah’ kepada bahagian lebih kecil daripada penduduk Malaysia atau mereka yang berpendapatan tinggi.

Katanya, jika ia berterusan, faedah perumahan sosial perlu diberi kepada isi rumah berpendapatan sehingga RM10,000 sebulan, yang jatuh dalam kategori kelas menengah.

Ini bermakna bukan sahaja kumpulan 40 peratus isi rumah terendah, tetapi juga 40 peratus isi rumah kelas pertengahan di Malaysia, perlu menerima subsidi untuk membeli rumah mampu milik, jika harga semasa diguna pakai.

Beliau berkata, kerajaan melakukan inisiatif seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), termasuk pinjaman perumahan bagi meningkatkan jumlah rumah mampu milik dalam pasaran hartanah yang semakin sesak.

“Di Kuala Lumpur terutamanya, tiada projek baru dilancarkan di bawah harga RM500,000 tahun lalu, walaupun maksimum median harga rumah adalah RM274,000 seunit,” katanya.

Suraya berkata, kerajaan perlu beralih daripada bergantung kepada perumahan sosial atau penyediaan rumah oleh kerajaan untuk mewujudkan persekitaran harga rumah yang mampu dimiliki semua masyarakat.

Sementara itu, Pengarah Urusan KRI, Datuk Charon Mokhzani berkata, memberi lebih banyak pinjaman juga tidak akan membantu menyelesaikan masalah perumahan kerana ini hanya menyebabkan rakyat terperangkap dengan lebih banyak hutang.

“Keadaan ini menimbulkan kebimbangan bagi golongan isi rumah berpendapatan sederhana yang tidak layak memperoleh perumahan sosial dan tidak berkemampuan memiliki perumahan sektor swasta.

“Penyediaan perumahan sosial bagi majoriti penduduk juga akan memberi tekanan kewangan ke atas perbelanjaan kerajaan. Oleh itu, langkah perlu dilaksanakan untuk membangunkan sektor perumahan yang mapan dan responsif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2015 @ 5:15 AM