Sofyan Rizal Ishak


Kuala Lumpur: Kerajaan digesa supaya memberi fokus lebih kepada bantuan perumahan bagi golongan berpendapatan rendah (B40) berbanding golongan berpendapatan tinggi (T20).

Pengarah Kajian Khazanah Research Institute (KRI) Dr Suraya Ismail berkata, pada masa ini bantuan perumahan turut dibuka kepada T20 di mana ia dilihat memberi beban kepada kedudukan fiskal kewangan kerajaan.

Menurutnya, pemaju swasta perlu lebih efisien dalam menawarkan perumahan pada harga mampu milik bagi golongan M40 dan T20 kerana pada masa ini kebanyakan rumah yang dibangunkan ditawarkan pada harga tidak mampu milik.

“Oleh itu, kami menyeru pihak berkaitan untuk membantu sektor swasta bagi mengurangkan harga hartanah bagi memastikan golongan sasar M40 dan T20 mampu memiliki rumah tanpa memerlukan bantuan daripada kerajaan,” katanya selepas perbincangan mengenai ​Perumahan sebagai Tempat Tinggal: Satu Keadaan Kegagalan Pasaran atau Kekangan Institusi?, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan KRI Datuk Charon Mokhzani, Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara Jayaselan K Navaratnam serta Presiden Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Malaysia (REHDA) Datuk Seri FD Iskandar FD Mansor.

Sesi perbincangan anjuran KRI itu adalah bertujuan memperhalusi keperluan menyediakan perumahan yang sesuai dan mampu milik serta melihat bagaimana pasaran dan institusi memainkan peranan dalam merealisasikan perkara terbabit.

Dalam perkembangan sama, Jayaselan berkata, fokus utama bagi bantuan kerajaan tetap disasarkan kepada golongan B40 kerana M40 dan T20 berfungsi sebagai pasaran terbuka.

Menurutnya, kerajaan tidak mengambil kira mengenai golongan T20 ketika mewujudkan bantuan perumahan yang ditetapkan berdasarkan struktur gaji pada 2014.

“Sejak kebelakangan ini, kami melihat keperluan bantuan perumahan bagi M40 meningkat dan kami turut mendapati golongan T20 tidak mampu membeli rumah meskipun dengan pendapatan bermula RM8,320,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 5:18 AM