QAISER ketika sesi taklimat media mengenai hutang isi rumah dan pembiayaan perumahan.
QAISER ketika sesi taklimat media mengenai hutang isi rumah dan pembiayaan perumahan.
Syarifah Dayana Syed Bakri dan Nabil Basaruddin

MENGEJUTKAN berikutan kediaman di Malaysia dikategorikan sebagai sangat tidak mampu milik berdasarkan kajian yang dibangunkan Demographia International dan dicadangkan oleh Bank Dunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Universiti Harvard.

Pengarah Jabatan Pemantauan dan Pengawasan Kewangan Bank Negara Malaysia (BNM), Qaiser Iskandar Anwarudin berkata, kebanyakan rakyat Malaysia tidak mampu untuk membeli rumah yang baharu dibangunkan berikutan harga yang disifatkan sebagai di luar keupayaan kewangan mereka.

“Menurut sumber daripada Jabatan Statistik Malaysia, Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) dan BNM, harga bagi rumah mampu milik di seluruh Malaysia perlu ditawarkan pada harga maksimum RM282,000 untuk isi rumah berpendapatan penengah (median).

“Namun, berdasarkan sumber sama, purata harga bagi pelancaran hartanah baharu yang ditawarkan dalam pasaran adalah pada RM417,262,” katanya pada sesi taklimat bersama media mengenai hutang isi rumah dan pembiayaan perumahan, semalam.

Berikutan itu, beliau berkata, ia secara tidak langsung mengakibatkan separuh daripada hutang isi rumah adalah untuk tujuan pembiayaan rumah.

“Daripada jumlah berkenaan, 55 peratus adalah untuk pembiayaan kediaman kurang daripada RM300,000,” katanya.

Menurutnya, beberapa negeri di Malaysia mencatatkan harga kediaman tidak mampu milik terutama di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

“Sebagai contoh, harga maksimum mampu milik bagi rumah di Kuala Lumpur adalah sekitar RM454,000, namun median sebenar yang ditawarkan adalah RM793,000.

“Di Selangor pula, harga maksimum mampu milik adalah RM375,000, tetapi harga median sebenar yang ditawarkan (RM482,000).

“Manakala di Pulau Pinang dan Johor harga maksimum mampu milik masing-masing adalah pada RM291,000 dan RM302,000, tetapi harga median sebenar yang ditawarkan masing-masing ialah RM439,000 dan RM350,000,” katanya.

Qaiser Iskandar berkata, sebuah rumah dianggap mampu milik jika harga ditawarkan tidak lebih daripada tiga kali ganda pendapatan tahunan isi rumah.

“Mengikut faktor kemampuan rakyat berdasarkan median multiple, harga rumah di Malaysia pada 2016 berada pada kadar 4.8 kali ganda pendapatan tahunan isi rumah berbanding 3.9 kali ganda pada 2012.

“Ia menunjukkan peningkatan kadar ketidakmampuan rakyat membeli rumah untuk didiami sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 6:45 AM