THOMAS (tengah) beraksi konsisten sepanjang tahun dengan menjuarai lima kejohanan. FOTO/AFP
THOMAS (tengah) beraksi konsisten sepanjang tahun dengan menjuarai lima kejohanan. FOTO/AFP
AFP

MIAMI: Justin Thomas dinamakan sebagai Pemain Terbaik Tahunan PGA 2017 semalam, melengkapkan musim cemerlang yang menyaksikannya menang lima kejuaraan termasuk kejuaraan utama sulung.

Pemain berusia 24 tahun dari Louisville, Kentucky itu menamatkan tahun gemilang dengan memenangi kejuaraan Piala FedEx bulan lalu.

Pesuruhjaya Jelajah PGA, Jay Monahan berkata, Trofi Jack Nicklaus yang diterima Thomas menggambarkan tahap konsisten persembahannya sepanjang tahun.

“Bagi pihak Jelajah PGA, tahniah kami ucapkan kepada Justin Thomas selepas diundi sebagai Pemain Terbaik Tahunan Jelajah PGA oleh rakan seperjuangannya,” kata Monahan dalam satu kenyataan.

“Dengan lima kemenangan menakjubkan dan konsisten sepanjang musim hingga berjaya memenangi Piala FedEx, Justin berhak menjadi pemenang Pemain Terbaik Tahunan Jelajah PGA.”

Thomas memenangi kejuaraan utama pertamanya Ogos lalu pada Kejuaraan PGA. Dia turut menang pada kejohanan Klasik CIMB, Kejohanan Juara-Juara Sentry, Terbuka Sony di Hawaii dan Kejuaraan Dell Technologies.

Kemenangan Thomas pada Terbuka Sony di Hawaii turut menyaksikannya muncul pemain paling muda melakar catatan di bawah 60, dengan catatan 59 pada pusingan pertama sebelum muncul juara.

Hanya tiga pemain - Jack Nicklaus, Tiger Woods dan Jordan Spieth – sejak 1960 menang lima kejohanan termasuk kejohanan utama semusim sebelum berusia 25 tahun.

Anugerah Pemain Terbaik Tahunan diundi oleh pemain profesional Jelajah PGA yang bermain sekurang-kurangnya 15 kejohanan rasmi musim ini. Undian ditutup pada 2 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 2:37 PM