ANTARA teh dari seluruh dunia yang dihidangkan di TWG Tea Salon Boutique.
ANTARA teh dari seluruh dunia yang dihidangkan di TWG Tea Salon Boutique.
Oleh Nor Faizah Mohamed

Kala bercerita mengenai teh, biskut dan kuih-muih pasti jadi bualan sampingan. Sejak dulu teh disifatkan peneman setia kepada hidangan pencuci mulut dan jarang sekali digandingkan bersama menu berat.

Namun di TWG Tea, teh diangkat sebagai bintang utama dalam setiap hidangan. Menampilkan lebih 400 jenis teh yang diperoleh dari seluruh dunia, barisan cef antarabangsa TWG Tea mengolah menu popular yang diadun bersama beberapa teh pilihan.

Dipersembahkan secara set menu, sup labu diletakkan sebagai pembuka selera. Bergantung kepada hari tertentu, TWG Tea turut menyediakan variasi sup antaranya minestrone dan cendawan.

Bagaimanapun, teh hijau Emperor Sencha dihidangkan terlebih dulu bagi membangkitkan lagi selera gastronomi pengunjung. Bagi set menu ini, wujud dua pulihan sama ada mahukan teh panas seperti Tibetan Secret atau teh hijau Forest Rain yang segar rasanya.

Beralih ke hidangan utama, pengunjung berpeluang memilih satu daripada tiga menu yang disediakan. Salad ayam Tibetan menyerlahkan rasa vinaigrette teh Tibetan Secret yang menggabungkan madu dan bunga rosemary lalu digaul bersama hirisan ayam, timun, lobak, tomato dan telur rebus.

Menu ini nampak ringkas tetapi mengenyangkan berikutan disediakan dalam saiz hidangan yang besar.

Jika pasta jadi pilihan, spageti makanan laut aglio olio menarik untuk dicuba. Udang, sotong dan kekapis segar ditambah dalam pasta yang kemudian digaul dengan herba, bawang putih serta cili merah yang terlebih dulu direndam se­ketika dalam teh Weekend in Venice.

Bagi penggemar sandwic pula, TWG Tea Club Sandwich enak dinikmati tambahan ia disertai salad yang dicampur vinaigrette teh hijau Jepun. Kepingan ayam, telur rebus dan tomato Roma menjadikan hidangan ini serba lengkap serta me­ngenyangkan.

Set menu ini disudahi dengan variasi pencuci mulut yang boleh dipilih di Pastry Trolley. Antara pilihan menarik ialah mousse coklat, kek dan tart beri.

Selain di Pavilion, TWG Tea boleh dikunjungi di The Gardens, Sunway Pyramid dan Gurney Paragon, Pulau Pinang.

Untuk maklumat lanjut boleh layari http://valiram.com/twg-tea-salon-boutique/

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2015 @ 11:19 AM