ANTARA makanan yang perlu diambil untuk amalan pemakanan sihat di Taman Semenyih Permai. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
ANTARA makanan yang perlu diambil untuk amalan pemakanan sihat di Taman Semenyih Permai. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Siti Zarinah Sahib


NASI lemak, roti canai dan teh tarik antara sarapan wanita ini hampir setiap pagi. Namun dia mula menyedari perlunya mengubah pengambilan makanan kepada menu sihat apabila memikirkan usia yang semakin bertambah dan pelbagai penyakit yang berpunca daripada pemakanan.

“Tidak mahu menunggu lama saya terus mengubah corak pengambilan makanan terutama sarapan kepada menu sihat,” kata Raja Zarina Raja Othman, ibu tiga cahaya mata yang ingin mendidik masyarakat mengenai amalan pemakanan sihat menerusi laman sosial di Instagram (IG).

Ujarnya, pada waktu pagi dia memulakan harinya dengan hidangan salad telur bersama secawan teh hijau tanpa gula. Menyedari teh hijau kaya antioksidan dan polifenol, jadi Raja Zarina terus menjadikan minuman ini sebagai pembuka sarapan.

“Nutrien yang terdapat di dalam teh hijau juga melindungi sel dan molekul daripada kerosakan seperti penyakit dan tanda penuaan. Pengambilan teh hijau secara konsisten juga boleh mengurangkan berat badan,” katanya.

Walaupun mengambil masa untuk membiasakan diri dengan teh hijau disebabkan rasanya yang sedikit payau dan diminum tanpa gula, dia terus konsisten menjadikan ia sebagai minuman harian.

RAJA Zarina Raja Othman menunjukkan makanan yang diambil untuk amalan pemakanan sihat di Taman Semenyih Permai. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
RAJA Zarina Raja Othman menunjukkan makanan yang diambil untuk amalan pemakanan sihat di Taman Semenyih Permai. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din

“Mulanya memanglah tidak menyelerakan tetapi apa juga perubahan seharusnya dilakukan selama 40 hari bagi membolehkan badan dapat mengadaptasinya. Sama seperti senaman, jika dilakukan sambil lewa tentu sukar untuk mendapatkan berat badan idaman,” katanya.

Sejak mengamalkan pemakanan sihat, Raja Zarina juga mengakui badannya lebih cergas. Ditambah pula dengan senaman yang dilakukan setiap hari seperti berjoging atau mengikuti kelas aerobik dengan rakan.

“Sebagai suri rumah dan peniaga makanan dalam talian, saya perlu cergas dan sihat bagi membolehkan urusan rumah tangga dilakukan dengan cepat. Setiap pagi sebaik bangun tidur saya minum segelas air suam kemudian menyediakan sarapan untuk anak. Selepas melakukan kerja rumah barulah saya makan salad bersama telur rebus atau separuh masak,” ujarnya.

TIDAK MAKAN BANYAK

Mengakui seorang yang tidak makan banyak, Raja Zarina mempraktikkan corak pemakanan suku-suku-separuh. Pengambilan nasi hanya pada tengah hari iaitu sebanyak dua sudu dan selebihnya sayur-sayuran dan buah-buahan pelbagai warna. Kadang-kadang dengan pengambilan telur rebus atau separuh masak dia berasa kenyang sehingga ke tengah hari.

“Tengah hari saya hanya ambil buah-buahan sebagai pelengkap menu harian. Buah kegemaran saya adalah limau gedang dan pisang sama ada dimakan begitu saja atau dijadikan jus,” katanya.

Menerusi pembacaan dan juga pendapat sesetengah individu yang mengamalkannya limau gedang kaya kandungan vitamin C berbanding buah-buahan sitrus lain. Malah jus limau gedang adalah pilihan terbaik untuk keperluan vitamin C pada musim sejuk. Selain itu buah ini juga kaya kalsium, glukosa, fosforus, kalium, likopena, potasium dan serat yang tinggi.

Kandungan bioflavonoid di dalam limau gedang membantu mengurangkan risiko penyakit berbahaya seperti kanser, jantung dan tumor dan ia membantu meningkatkan metabolisme tubuh dan tahap insulin yang lebih stabil seterusnya membekalkan rasa kenyang yang lebih lama.

“Sebab itu mereka yang ingin menguruskan badan dicadangkan mengambil limau gedang setiap hari. Walaupun rasa buah ini kurang enak kerana ada pahit dan masam, pahit inilah yang menyebabkan rasa kenyang berpanjangan dan kurang selera makan,” katanya.

Seorang yang gemar mencuba pelbagai resipi sihat, bagi wanita ini, setiap individu perlu memulakan hari dengan hidangan kaya protein yang memberikan lebih tenaga.

“Antaranya sandwic atau gulungan yang diisi dada ayam dibakar bersama paprika, herba Itali dan lada hitam bagi mendapatkan aroma serta rasa yang lazat. Kemudian gulung isi ayam bersama tomato atau salad segar. Sesuai dijadikan sarapan atau hidangan tengah hari,” ujarnya.

Untuk mengelak rasa lapar wanita ini juga gemar menghasilkan smoothie buah seperti pisang, strawberi dan beri biru yang dicampur dadih. Tambahkan minuman berkhasiat ini dengan sedikit madu untuk merasai kemanisan asli.

Minuman kaya vitamin ini boleh dihasilkan pada waktu pagi dan disejukkan untuk diminum pada tengah hari atau malam.

“Sebenarnya semua buah-buahan boleh dijadikan smoothie asalkan digabungkan dengan buah-buahan yang serasi dan sepadan. Pisang misalnya boleh digandingkan dengan buah-buahan masam seperti strawberi untuk menyeimbangkan rasanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 6:36 AM