Oleh Muhammad Apendy Issahak

[email protected]

Ipoh: Seorang pemandu bas persiaran yang membawa penyokong pasukan bola sepak Johor Darul Ta'zim (Johor DT) ketika perlawanan dengan Perak dalam saingan Liga Super malam tadi, membuat laporan polis mendakwa cermin kenderaan dipandunya pecah dibaling batu.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, laporan itu dibuat di Balai Polis Johor Bahru Sentral, Johor pada 12.26 tengah hari tadi oleh pemandu bas berusia 51 tahun itu.

Menurutnya, kes itu bagaimanapun dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, untuk tindakan lanjut.

"Berdasarkan laporan yang diterima, pemandu bas terbabit mendakwa pada 1.45 pagi ketika dalam perjalanan membawa bas nombor pendaftaran JJX 5635 (bas penyokong JDT) dari Perak ke Johor melalui bawah jejantas sebelum Plaza Tol Ipoh Selatan, secara tiba-tiba sekumpulan orang bertindak membaling batu dari atas jejantas berkenaan.

"Tindakan itu menyebabkan cermin sebelah kiri hadapan dan belakang retak dan tujuan pengadu membuat laporan adalah bagi membuat tuntutan insurans dan rujuk pihak berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam saingan Liga Super malam semalam, Johor DT yang bertemu Perak di Stadium Perak, di sini, tewas 1-2 kepada tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2015 @ 7:17 PM