TREND Re: View.
TREND Re: View.
TREND Enlightened.
TREND Enlightened.
TREND Free Party.
TREND Free Party.
TREND No Makeup.
TREND No Makeup.
Oleh Nor Faizah Mohamed

Apa tafsiran cantik pada luaran diri kita? Wajah mulus tanpa sebarang produk atau penuh dengan solekan? Berdandan rapi dari hujung rambut ke hujung kaki? Atau sekadar bersiap untuk kelihatan bersih dan kemas?

Kecantikan itu sendiri bersifat individu. Sejak berabad lamanya manusia sering dinilai daripada kecantikannya, sama ada luaran atau dalaman.

Seiring masa, solekan juga menjadi sebahagian daripada sifat individu itu, malah berubah ke arah paradoks yang indah nilainya.

Ia juga saling berkaitan dengan ilham kesenian untuk mencapai sesuatu keperluan yang tampak normal, namun masih ada unsur estetikanya, hasil daripada formulasi dan aplikasi solekan yang lebih sofistikated.

Bagi MAC, semua unsur itu ibarat satu subjek utama yang menarik untuk diterokai ke arah pencarian keseimbangan seni dan solekan pada era ini.

Seperti apa yang dilihat dalam persembahan trend MAC bagi musim bunga dan panas (SS15) kali ini, riasan wajah semula jadi, kulit berseri serta efek segar diangkat menjadi nadi kepada himpunan warna alirannya.

Wajah yang seakan tiada solekan ditonjolkan dengan teknik riasan kilauan yang menghasilkan impak wajah segar bercahaya.

Biarpun sebahagian besarnya tampak semula jadi, masih ada beberapa suntikan rona terang dan lorekan ilham di luar kotak yang ditampilkan kali ini.

Menerusi sesi pengenalannya oleh Jurusolek Kanan MAC Malaysia, Haritha Shan, SS15 mempersembahkan empat zon aliran iaitu Re: View, Englightened, Free Party dan No Makeup tidak hanya menekankan kepada aspek solekan minimalis, tetapi lebih kepada siluet wanita penuh keyakinan.

"Pada asasnya trend SS15 ini seakan menggalakkan wanita bersolek secara sederhana dan lebih memberi tumpuan kepada kulit wajah yang sihat berseri.

"Seperti apa yang dilihat di pentas peragaan, sorotan lampu dan teknologi fotografi berdefinasi tinggi menunjukkan bahawa pentingnya menyerlahkan kulit yang bersih dan sihat.

"Sama seperti trend terdahulu, MAC mengangkat semangat kebebasan dalam bersolek. Olesan wajah semula jadi tidak semestinya perlu dipadankan dengan riasan mata yang senada. Di sinilah aspek kebebasan itu memainkan peranannya," katanya.

Nyata tiada betul atau salah dalam solekan, tetapi semuanya bergantung sama ada berani atau tidak untuk menggayakannya seperti yang ditegaskan Haritha.

Berikut empat trend MAC bagi musim ini.

TREND MAC #1-Re: View

Re: View berkisarkan kepada solekan klasik dan malar segarnya penggaris mata hitam yang disudahi dengan layangan maskara.

Garisan biasa di atas kelopak mata diberi sedikit sentuhan eksentrik dengan lengkungan tambahan di hujungnya sementara warna gelap (selain hitam) jadi pilihan seperti hijau tentera dan biru.

Garisan jenis 'banana' (banana eyeliner) juga banyak dilihat di pentas peragaan musim ini, di mana lorekan garisan pendek hanya dilakukan di tengah kelopak mata.

Trend ini menjadi pilihan di pentas peragaan bagi Emilio Pucci, Masha Ma, Salvatore Ferragamo, Alberta Ferrertti dan Giamba.

* Produk pilihan: Maskara Studio Sculpt Superblack Lash, maskara Haute & Naughty Too Black Lash, penggaris mata jenis cecair Super Slick dan penggaris mata Black Creme Liner.

TREND MAC #2-Enlightened

Enlightened sememangnya hanya memberi tumpuan kepada olesan sekata di wajah. Penonjolan wajah yang bersih dan sihat dilakukan dengan hasil penggunaan bedak asas bersama penyamar cela yang sesuai dengan ton kulit.

Selain itu, beberapa bahagian diberikan sorotan cahaya seperti di tulang pipi, hidung dan kelopak mata.

Ada sesetengahnya kelihatan seperti ilusi 'ghostly' atau hantu tetapi dilakukan dengan menitikberatkan teksturnya pada wajah.

Trend wajah ini menjadi pilihan bagi Prabal Gurung, Missoni, Issey Miyake, Peter Pilotto, Haider Ackermann, Kenzo, Marco De Vincenzo dan Veronique Branquinho.

* Produk pilihan: Penyamar cela Studio Finish SPF35, Mineralize Skinfinish Perfect Topping, Eye Gloss, Cream Colour Base dan Prep+Prim Fix+.

TREND MAC #3-Free Party

Dengan suasana hangat dan meriahnya festival, trend ini meletakkan mainan warna ceria pada lorekan kanvasnya.

Ia ibarat tafsiran wanita muda menikmati percutian musim panas dengan paduan rona terang pada pakaian dan aksesorinya, tidak ketinggalan pada riasan wajah khususnya mata serta bibir.

Gaya blok warna yang popular di pentas fesyen dibawa ke riasan mata dengan gabungan rona panas seperti jingga dan hijau bersama layangan maskara neon.

Tiada peraturan dalam trend ini kerana ia lebih kepada tonjolan kreativiti individu dan menariknya tiada pembayang mata tipikal digunakan.

Kebanyakan riasan dalam trend ini boleh dilakukan dengan menggunakan pensel penggaris mata dan serbuk pigmen untuk hasil kemilau.

Trend ini popular bagi persembahan di pentas Lulu & Co, Sally Lapointe, Stella Jean, Delpozo, Alexis Mabille, Marques Almeida dan Christian Wijnants.

* Produk pilihan: Penggaris mata Pro Longwear Paint Pot, pigmen emas dan pensel penggaris mata Technakohl.

TREND MAC #4-No Makeup

No Makeup memberi perhatian kepada wajah yang bersih, sihat dan tampak manis dengan sedikit sapuan rona lembut pada pipi serta bibir.

Ia seakan-akan kombinasi segarnya wajah selepas terdedah pada sinaran suria pagi lalu diberikan sedikit sentuhan kilauan yang feminin.

Trend ini memaparkan wajah segar dan imaginasi tanpa cela. Bayangkan wanita yang baru menjalani rawatan wajah dan pipinya tampil berseri-seri.

Tiada unsur dramatik dalam trend ini kerana ia tafsiran jujur kepada kecantikan kulit seseorang wanita.

Label popular seperti Balmain, Chloe, Desigual, Ohne Titel, Proenza Schouler, Simone Rocha dan Jacquemus antara yang menggunakan trend ini untuk persembahan SS15 mereka.

* Produk pilihan: Krim Strobe, penyamar cela Matchmaster, Prep+Prime Naturak Radiance dan Studio Scultp Defining Bronzer.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 January 2015 @ 5:05 AM