PEMAIN Terengganu, Ismail Faruqi diasak oleh pemain PDRM. FOTO Rozainah Zakaria
PEMAIN Terengganu, Ismail Faruqi diasak oleh pemain PDRM. FOTO Rozainah Zakaria
CUBAAN Issey Nakajima (dua kanan) ke gawang gol pasukan PDRM. FOTO Rozainah Zakaria
CUBAAN Issey Nakajima (dua kanan) ke gawang gol pasukan PDRM. FOTO Rozainah Zakaria
Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Hasrat Terengganu untuk mengulangi kemenangan di laman sendiri tercapai apabila berjaya menundukkan PDRM 1-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini.

Sebaik wisel ditiupkan pasukan tuan rumah bermula garang dengan asakan yang mencemaskan pintu gol lawan.

Barisan pemain kendalian Ahmad Yusof yang berhajat memburu gol awal gagal membuka tirai jaringan apabila percubaan pertama Ismail Faruqi dari luar kotak penalti pada minit ke-10 dinafikan penjaga gol PDRM, Badrulzaman Abd Halim.

Percubaan seterusnya dilakukan pemain pertahanan skuad penyu, Vincent Bikana yang menanduk hantaran Mohd Ashari Shamsuddin dan nyaris menghasilkan jaringan namun sedikit melepasi palang pada minit ke-15.

Begitu juga dengan peluang yang dimiliki pemain import

Issey Nakajima Farran ketika minit ke-29 yang gagal diterjemahkan jaringan biarpun hanya berdepan dengan penjaga gol.

Kedua-dua pasukan saling mengatur serangan namun gagal menghasilkan jaringan sehingga tamat babak pertama perlawanan.

Bersambung babak kedua, kedua pasukan bagaikan semakin bernafsu apabila saling mencipta serangan berbisa namun buntu menghasilkan jaringan.

Pasukan pelawat yang seolah mampu meneka taktikal yang digunakan skuad Peteh menukar rentak permainan dengan membuat asakan bertubi-tubi ke arah kubu Terengganu tetapi berjaya dipatahkan pertahanan yang diketuai Bikana.

Usaha berterusan pelawat akhirnya mencemaskan kubu tuan rumah apabila pemain import PDRM Calestino Dias Braganca yang tidak dikawal merembat kencang namun ditangkap kemas Md Sharbinee.

Kebuntuan gol akhirnya terlerai menerusi Issey Nakajima pada minit ke-81 perlawanan selepas berjaya menolak masuk umpanan di pintu gawang oleh Mohd Ashari.

Walaupun PDRM cuba bangkit tetapi kedudukan itu kekal hingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 11:16 PM