ISSEY (tengah) jaring dua gol untuk Terengganu.
ISSEY (tengah) jaring dua gol untuk Terengganu.
Oleh Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu terus menambah derita Selangor apabila menumpaskan juara Piala Malaysia musim lalu itu 3-1 dalam aksi mendebarkan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Gong Badak Kuala Nerus malam tadi.

Bagaimanapun sebaik aksi bermula, pasukan kendalian Zainal Abidin Hassan tidak menunggu lama apabila melakukan asakan ke arah pintu gol lawan menerusi rangkaian penyerang import Patrick Ronaldinho Wleh pada minit kedua dan Mauro Olivi, dua minit kemudian.

Dua minit berselang, pasukan tuan rumah yang menurunkan kesebelasan utama termasuk penyerang import dari Kanada Issey Nakajima Farran yang baharu sembuh daripada kecederaan, tidak mahu mengalah dengan melakukan asakan pertama menerusi penyerang muda Amirul Syahmi Ashari namun gagal menemui pintu gol pasukan pelawat.

Pada minit ke-18 dan 30, Amirul Syahmi sekali lagi mencemaskan pintu gol Red Giants dengan percubaan menarik disusuli peluang terbaik untuk jaringan pembukaan menerusi Issey Nakajima enam minit kemudian.

Serangan berterusan skuad tuan rumah bagaikan memberi isyarat awal kepada Selangor yang tampak sedikit tertekan untuk mengembalikan semula keyakinan selepas tumpas dua aksi terakhir dalam saingan Piala FA dan Piala AFC.

Pelawat yang kelihatan banyak bertahan hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-36 menerusi Andik Vermansah namun tendangan leret pemain Indonesia itu sedikit sipi di sebelah kiri pintu gol Terengganu yang dikawal Sharbinee Allawee Ramli.

Terengganu yang mengidam kemenangan ketiga dalam aksi liga terus mencipta gerakan menarik dan hasilnya Issey Nakajima yang tidak dikawal melakukan sepakan lencong untuk gol pertama tuan rumah pada minit ke-45.

Sebaik perlawanan bersambung pasukan pelawat tidak menunggu lama apabila menyamakan kedudukan menerusi tendangan jarak jauh pemain sayap R Gopinathan pada minit ke-46.

Bagaikan tersentak, Terengganu memperkemaskan asakan dengan melakukan dua pertukaran pemain - memasukkan Joseph Kalang Tie dan Juan Jose Morales namun terus buntu untuk menambah jaringan.

Sebaliknya pelawat yang tampil dengan watak berbeza pada babak kedua hampir menambah jaringan menerusi Gopinathan pada minit ke-62 dan 72 yang terkena tiang gol.

Skuad Peteh Terengganu Peteh yang kemaruk jaringan terus menggandakan asakan bertali arus ke kubu pelawat dan pemain yang sebelum ini diperam skuad itu, Morales menghasilkan gol kedua tuan rumah pada minit ke-79.

Derita skuad pelawat berterusan apabila Issey Nakajima meledak jaringan ketiga tuan rumah dengan tandukan cantik selepas menerima hantaran Kalang Tie pada minit ke-87 untuk kemenangan ketiga Terengganu dalam saingan Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2016 @ 6:33 AM