LIN DAN
LIN DAN
Oleh Saiful Affendy Sapran

Jakarta: “Saya sedikit kecewa tak dapat bertemu (Datuk) Lee Chong Wei.” Demikian perasaan juara dunia lima kali dari China Lin Dan selepas gagal menempah tiket ke separuh akhir Kejohanan Dunia berdepan musuh tradisinya berikutan tewas kepada bintang sensasi Denmark Jan O Jorgensen di suku akhir semalam.

Bagaimanapun jelas Lin Dan, dia harus menerima kekalahan itu dan menjadikannya pembakar semangat untuk terus mempamer aksi cemerlang selepas ini.

“Kadang-kadang anda menang dan begitu juga sebaliknya tapi saya perlu terima keputusan ini.

“Sebab saya sendiri tidak beraksi dengan baik tadi (semalam),” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan yang menyaksikan dia tewas 12-21, 15-21.

Jelas Lin Dan, kegagalan meneruskan kempen di Kejohanan Dunia sama sekali tidak akan mematahkan semangatnya, sebaliknya dia bertekad untuk bangkit terutama di Sukan Olimpik Rio serta saingan Piala Thomas tahun depan.

“Saya akan kembali dan cuba untuk memenangi setiap perlawanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2015 @ 5:02 AM