Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Kebanyakan pakar fesyen menyasarkan warna biru nila atau indigo sebagai rona paling hangat untuk musim luruh tahun ini. Tatkala musim luruh mula menjengah, rona indigo kini mewarnai kebanyakan rekaan fesyen digayakan wanita mahupun lelaki.

Apabila pemula trend seperti Pharrell Williams, Kanye West dan Rihanna mula menggayakan fesyen rona indigo dengan pilihan koleksi Yellow Boot, secara terus-terusan ia menjadi gaya ikutan ramai.

Tanpa berlengah, jenama berkenaan meneruskan usaha untuk cuba memenuhi cita rasa pencinta fesyen masa kini dengan menampilkan koleksi pakaian pilihan rona berkenaan kali ini.

Setiap helaian direka dengan penuh teliti bagi mengekalkan kualitinya bermula daripada baju-T corak jalur hingga jaket bomber, kemeja Oxford dan celana denim premium yang disempurnakan bersama pilihan rona indigo.

Gayakan kemeja corak petak de­ngan denim rona luntur bersama but klasik jenama berkenaan ketika beriadah bersama teman atau seisi keluarga yang diketengahkan bersama kepelbagaian peringkat ton indigo.

Bagi lelaki yang gemarkan suasana tenang, jangan lepaskan peluang untuk bergaya menarik yang terdapat pada setiap helaian rona indigo dalam menyerlahkan gaya rock.

Sementara itu, raikan sambutan perayaan Krismas dengan koleksi Earthkeeper's Kempton yang sememangnya memenuhi cita rasa kerana memiliki ciri praktikal.

Ia dicipta khas untuk golongan lelaki urban yang versatil dan mementingkan penampilan. Walaupun dicipta dengan rekaan kontemporari, koleksi ini masih mengekalkan perlindungan yang diinginkan setiap jejaka tatkala menggayakannya.

Menariknya, koleksi kasut yang dilengkapi dengan teknologi SensorFlex itu bertujuan untuk menampilkan sepatu ringan berprestasi tinggi dan membantu memberikan keselesaan.

SensorFlex terdiri daripada tiga lapisan luaran unik termasuk lapisan atas yang pejal bagi menyokong serta menstabilkan kaki. Ia turut memudahkan lenturan yang bertindak segera di permukaan kaki.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 November 2014 @ 5:00 AM