REKAAN beg baldu Fleur menyerlahkan sisi kewanitaan pemakai melalui tekstur materialnya yang lembut.
REKAAN beg baldu Fleur menyerlahkan sisi kewanitaan pemakai melalui tekstur materialnya yang lembut.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Carlo Rino menampilkan fantasi aneh dalam meneroka fesyen dan ekspresi menerusi koleksi menarik sempena musim luruh/ sejuk kali ini.

Koleksi berkenaan didatangkan dalam tiga siri istimewa iaitu The Game Room, The Flower Bucket dan The Wave yang dihasilkan khas untuk menonjolkan nilai estetik setiap wanita.

The Game Room

Koleksi menarik dalam siri itu mengimbas semula keseronokan permainan arked era 80-an dalam gabungan rekaan fesyen lama dan moden.

Pelbagai aksesori menarik ditampilkan antaranya beg galas, beg silang badan, dompet, dompet syiling, kasut dan rantai kunci.

Koleksi itu turut menyerlahkan keunikan elemen rekaan geometri dalam permainan zaman kanak-kanak, Blok Tetromino.

Beg sandang belakang Tetro B Mon misalnya diinspirasikan daripada permainan blok berkenaan dan menyerlahkan nostalgia zaman kanak-kanak dengan tarikan fesyen moden.

Untuk kasut pula, penampilan tidak akan pernah salah dengan gaya klasik.

Justeru, kasut bertapak rata (loafer) vintaj bertumit rendah dengan rekaan jari kaki runcing mampu memberi ilusi kaki panjang dan menyerlahkan lagi penampilan wanita.

Bagi penggemar beg silang badan pula, jangan ketinggalan untuk memiliki koleksi terbaharu Carlo Rino yang menampilkan rekaan menarik, sesuai untuk gaya harian.

Turut boleh dimiliki, beg menarik yang didatangkan bersama lanyard kad, ia juga selesa untuk digayakan dan menjadi teman bekerja yang sempurna.

GAYA klasik kasut Tetro B Mon Sling Back Pump.
GAYA klasik kasut Tetro B Mon Sling Back Pump.

The Flower Bucket

Aksesori dalam siri berkenaan diinspirasikan bunga pertama pada musim bunga yang dapat menyuntik elemen kelembutan dalam gaya fesyen.

Ia jelas dilihat pada rekaan beg 'bucket' yang menyerupai bunga sedang mekar.

Koleksi beg unik itu boleh didapati dalam kulit pastel lembut, baldu dan monogram klasik jenama itu.

Rekaan beg baldu Fleur contohnya dapat membantu menyerlahkan sisi kewanitaan pemakai melalui tekstur materialnya yang lembut.

Ia sesuai untuk gadis yang mencari gaya versi kontemporari feminin.

The Wave

Untuk koleksi siri The Wave pula, ia menampilkan rekaan aksesori yang sarat elemen hiasan seni terang.

Beg The Carlo EV Aurora Wave umpamanya dapat memukau pandangan dengan gabungan warna pastel yang mengingatkan kepada keindahan Aurora Borealis.

Ia dilengkapi perincian dekorasi seni kemasan emas metalik untuk menyerlahkan ekpresi gaya pemakai.

Beg The Studded Wave pula dihasilkan khas untuk penggemar fesyen yang berani.

Manakala beg rekaan berstruktur pula boleh dimiliki dalam beberala rona menarik dan dihiasi perincian seni dekorasi serta kemasan metalik, pelengkap gaya sesuai menemani wanita untuk acara siang mahupun malam.

Melengkapkan lagi penampilan, sandal platform yang tampil dalam gaya rocker chic menarik.

Jadi, sama ada anda seorang yang gemar mengikut aliran fesyen, wanita kerjaya dan bergaya atau ibu bapa yang bijak, ada aksesori sesuai untuk melengkapkan lagi penampilan terbaik anda.

Jika anda gemar menonton filem pula contohnya, boleh tampil dengan gaya Cher dalam filem Clueless dengan aksesori siri The Game Room atau tampil menawan seperti watak Vivian dalam filem Pretty Woman menerusi koleksi The Wave.

Koleksi terbaharu Carlo Rino itu direka untuk memenuhi keperluan gaya setiap wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 7:01 AM