SEORANG lelaki mengangkat mayat seorang kanak-kanak yang terbunuh dalam serangan udara tentera Syria di bandar Douma di wilayah  Ghouta Timur, semalam.
SEORANG lelaki mengangkat mayat seorang kanak-kanak yang terbunuh dalam serangan udara tentera Syria di bandar Douma di wilayah Ghouta Timur, semalam.
Agensi

Beirut: Sekurang-kurangnya 37 orang awam terbunuh dalam serangan udara yang dilancarkan tentera Syria di wilayah Ghouta Timur, berhampiran Damsyik, semalam.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Syria berkata, 120 lagi penduduk cedera dalam kejadian berkenaan, sebahagiannya parah dan angka kematian mungkin meningkat.

Serangan udara itu menyasarkan bandar Douma, Saqba, Kafr, Batna dan Hammouriyeh di Ghouta Timur, kubu kuat penentang di pinggir Damsyik.

Kementerian Dalam Negeri Syria berkata, serangan dilakukan selepas kumpulan penentang membedil puluhan roket ke arah ibu negara Syria itu.

Dalam kenyataannya yang dipetik televisyen milik kerajaan, kementerian itu berkata, serangan penentang berkenaan menyebabkan empat orang terbunuh dan 58 cedera.

Tentera Syria sering melancarkan serangan udara terhadap kawasan yang dikuasai penentang di pinggir Damsyik, khususnya Ghouta Timur.

Lebih 240,000 orang terbunuh dalam konflik di Syria sejak ia meletus pada Mac 2011. Jutaan penduduk negara itu juga terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing untuk mencari tempat lebih selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2015 @ 7:52 AM