Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selepas menangguhkan beberapa kali hasrat untuk mewakili Harimau Malaya bagi mencuba nasib bersama skuad senior Belgium, akhirnya pemain kacukan Belgium-Malaysia, Dion Cools memilih pasukan negara untuk beraksi di pentas antarabangsa.

Namun di sebalik kemahuan itu, siapa sangka pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebenarnya watak utama yang berjaya memujuk Cools mewakili Malaysia pada usia agak muda iaitu 24 tahun.

Malah, penampilan di Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bersama kelab Denmark, FC Midtylland kini meletakkan dirinya sebagai pemain Malaysia pertama yang berjaya beraksi di saingan utama Eropah itu.

Lantas pengalamannya bersaing dengan kelab-kelab terkenal dunia seperti Liverpool, Ajax Amsterdam dan Atalanta kini ditagih bagi memperkuatkan pertahanan negara yang dilihat agak goyah menjelang Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula Sabtu ini.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, Tunku Ismail memainkan peranan cukup besar dalam menarik minat tonggak pertahanan kanan dan tengah itu memilih jersi Malaysia.

"Junjung kasih juga kepada DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor kerana baginda memainkan peranan cukup penting dalam meyakinkan Dion Cools untuk memilih Malaysia sebagai pasukan negara yang ingin diwakilinya di peringkat senior," katanya.

Selain itu, Stuart mengakui proses mendapatkan kelulusan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) dan Konfederasi Bolasepak ASia (AFC) berlangsung cukup panjang susulan Cools sebelum ini pernah beraksi bersama skuad remaja Belgium.

"Bagi mendapatkan perincian mengenai perlawanan Cools bersama pasukan bola sepak Belgium, FAM beberapa kali menghantar surat secara rasmi kepada Persatuan Bolasepak Belgium (RBFA) dan selepas FAM menerima bantuan Fifa."

RBFA membalas permintaan FAM dengan memberikan perincian berkenaan penglibatan Cools dalam skuad B-18 dan B-19 Belgium dari 2014-2015 dan skuad B-21 Belgium dari 2016-2019 bersama senarai perlawanan, selain mengesahkan Cools tidak pernah beraksi dalam mana-mana perlawanan rasmi bersama skuad senior kebangsaan Belgium.

"FAM kemudiannya membuat permohonan kepada Jawatankuasa Status Pemain Fifa dengan melampirkan dokumen berkaitan pemain bersama surat perincian yang diterima daripada RBFA.

"Selepas membuat penelitian terhadap asas-asas yang diguna pakai dan dokumen- berkaitan, Jawatankuasa Status Pemain Fifa akhirnya membuat keputusan untuk meluluskan permohonan terbabit.

"Selepas mendapat kelulusan Fifa, FAM dengan segera mendaftarkan nama Cools dalam senarai awal pendaftaran pemain bagi kelayakan dan selepas ia diluluskan Fifa dan AFC, barulah FAM boleh mengumumkan secara rasmi Cools sebagai pemain negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 11:32 AM