POLIS mengawal kawasan serangan bom di Kabul, semalam.
POLIS mengawal kawasan serangan bom di Kabul, semalam.
AFP

Kabul: Sebuah trak yang sarat dengan bom meletup di tengah bandar ini semalam, menyebabkan kemusnahan besar dan mengakibatkan 15 terbunuh serta lebih 200 lagi cedera.

Trak itu meletup sejurus selepas tengah malam berhampiran sebuah pangkalan tentera di Shah Shaheed.

Letupan kuat itu dilapor menggegarkan seluruh Kabul dan menyebabkan beberapa kediaman dan bangunan rosak atau runtuh.

Ia juga menyebabkan terbentuk sebuah kawah besar sedalam 10 meter dan memusnahkan tembok penghadang pangkalan tentera berkenaan.

“Jumlah mangsa yang maut dalam serangan ini mencecah 15 orang,” kata jurucakap polis, Ebadullah Karimi.

Menurutnya, lebih 200 orang dilaporkan cedera dan kini dirawat di hospital.

Kementerian Kesihatan memberitahu, sebahagian mangsa cedera kerana terkena serpihan kaca yang berterbangan.

Ketua Polis Kabul, Abdul Rahman Rahimi berkata, pasukan penyelamat berusaha mencari kemungkinan ada mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan.

“Semua yang terbunuh dan cedera adalah orang awam, termasuk wanita serta kanak-kanak dan pekerja kilang berhampiran.

“Serangan ini bertujuan untuk menyebabkan banyak kematian,” katanya.

Kejadian itu adalah serangan besar pertama di Kabul sejak Taliban mengumumkan kematian ketua mereka, Mullah Omar, minggu lalu.

Bagaimanapun, sehingga kini belum ada pihak mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan bom berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2015 @ 5:10 AM