Polis Afghannistan berjalan di depan bangunan yang musnah akibat serangan bom terbesar di Kabul, Jumaat lalu. - Foto REUTERS
Polis Afghannistan berjalan di depan bangunan yang musnah akibat serangan bom terbesar di Kabul, Jumaat lalu. - Foto REUTERS

Kabul: Serangan terhadap tentera dan polis Afghanistan serta pasukan khas Amerika Syarikat di Kabul, sejak Jumaat lalu, membunuh sekurang-kurangnya 50 orang, termasuk tentera Amerika manakala ratusan lagi cedera.

Menurut Reuters, tentera bersekutu dipimpin NATO semalam, mengesahkan seorang anggota pasukan antarabangsa itu dari Amerika serta lapan anggota kontraktor Afghanistan terbunuh dalam serangan terhadap Kem Integriti, pangkalan tentera khas Amerika dekat lapangan terbang.

Serangan bermula Jumaat lalu, apabila sebuah lori dimuat bom meletup di luar pangkalan berkenaan diikuti pertempuran sengit selama sehingga semalam. Pemberontak Islam mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Letupan berkenaan amat kuat untuk meranapkan bangunan di dalam kem berkenaan.

Menurut seorang anggota pasukan khas Amerika yang cedera, letupan amat kuat di pintu masuk dengan tembakan bertalu-talu daripada kedua-dua pihak.

Kem Integriti dikendalikan kontraktor keselamatan AS, Academi yang sebelum ini dikenali sebagai Blackwater dan menurut kenyataan syarikat itu, lapan anggota kontrak rakyat Afghanistan terbunuh.

Associated Press (AP) melaporkan Amerika mengesahkan seorang tenteranya terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam serangan itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2015 @ 6:44 PM