Oleh Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Beberapa pertubuhan anak yatim, sekolah dan surau menerima sumbangan zakat berjumlah RM50,000 dari Agrobank sebentar tadi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman berkata, peruntukan itu adalah sebahagian daripada zakat perniagaan sebanyak RM1.36 juta bagi tempoh Julai 2015 sehingga Jun 2016.

Katanya, sebahagian lagi diperuntukkan kepada pihak berkuasa zakat negeri-negeri manakala selebihnya diagihkan kepada asnaf yang layak, ibu tunggal, pusat tahfiz dan biasiswa institut pengajian tinggi.

Sumbangan berkenaan disampaikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang turut bersama warga bank berkenaan dalam majlis sambutan Aidilfitri hari ini.

Hadir sama Pengerusi Agrobank Tan Sri Faizah Mohd Tahir dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Mohd Ariff Ab Rahman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2015 @ 2:17 PM