RAMLY ditemubual pengacara Bicara Agro.
RAMLY ditemubual pengacara Bicara Agro.
Mohamad Hussin


“Saya pernah mohon pinjaman dengan sebuah institusi kewangan, tapi ditolak kerana mereka kata orang Malaysia tak makan burger.

“Kini saya sudah buktikan kita boleh berjaya dengan usaha dan kerajinan yang bersungguh-sungguh,” kata Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan RAMLY, Datuk Ramly Mokni dalam Bicara Agro di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pemilik jenama daging sejuk beku dan burger popular negara ini memegang prinsip jika orang lain boleh buat, dia juga boleh buat.

“Dunia perniagaan penuh cabaran dan onak duri... tiada jalan mudah mencapai kejayaan. Jika pada awal perniagaan orang kata tiada orang Malaysia nak makan burger, tapi hari ini saya buktikan. Berkat usaha bersungguh-sungguh tiada yang mustahil.

“RAMLY itu sendiri mewakili visi dan misi syarikat iaitu Rangkaian Pasaran Global, Amalan Pengurusan Produktiviti Efektif, Menitikberatkan Halal, Bersih dan Bermutu, Latihan Rohani dan Jasmani Diterapkan dan Yakin Dalam Segala Tindakan.

“Saya gembira kerana produk burger dan keluaran lain syarikat saya dianggap sebagai gaya hidup rakyat Malaysia pada masa ini dan yang paling penting burger jenama RAMLY dikatakan paling tersohor serta menjadi kebanggaan Malaysia,” katanya.

Bicara Agro turut menampilkan dua lagi personaliti iaitu Mantan Naib Presiden Kanan Malaysia Agrifood Corporation Dr Baharuddin Abdul Ghani dan Ketua Pegawai Eksekutif SA Agromax dan APC Nature Farm Mohd Afiq Atif.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Timbalannya Nogeh Gumbek serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman.

Bicara Agro bertajuk Siri Perkongsian Ilmu Mengenai Industri Pertanian dan Asas Tani dianjurkan Agrobank.

Ramly berkata, beliau gembira kerana hasil keluaran syarikatnya melahirkan ramai lagi usahawan muda berbakat.

Sementara itu, Wan Mohd Fadzmi berkata, pihaknya merancang mengadakan siri program bual bicara itu dua bulan sekali.

Beliau berkata, setiap sesi Bicara Agro akan membariskan tiga atau empat penceramah daripada pelbagai bidang pertanian dan asas tani.

“Bicara Agro akan membincangkan pelbagai topik dan isu berkaitan sektor pertanian dan industri asas tani. Siri bual bicara ini cetusan idea Datuk Seri Ahmad Shabery.

“Ia sebagai inisiatif untuk berkongsi ilmu kepada masyarakat menerusi pembentangan idea baru mengenai industri pertanian dari kaca mata tokoh usahawan yang berjaya dalam industri,” katanya.

Menurutnya, program itu inisiatif Agrobank dalam menyokong usaha kementerian untuk memperbanyakkan penganjuran perkongsian ilmu.

“Setiap topik yang dibicarakan membabitkan isu berkenaan pertanian dan industri asas tani serta agenda agro seperti pembangunan industri dan garapan teknologi dalam pertanian.

“Penceramah yang dijemput adalah tokoh usahawan tani dan agromakanan, ahli akademik dan pakar teknologi yang terbabit dalam industri asas tani,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2016 @ 10:43 AM