Agensi

Chongqing, China: Seorang bapa di sini dikecam ramai selepas mengaku memberi bayinya yang berusia 19 bulan minum minuman keras sehingga menjadi kaki botol.

Perkara itu terbongkar selepas gambar menunjukkan bayi berkenaan, Tangtang meneguk sebotol arak disiarkan sebuah stesen televisyen di China.

Bapa Tangtang yang juga kaki botol dengan bangga memberitahu, anaknya mampu meminum hingga separuh botol arak.

Katanya, beberapa bulan lalu dia memberikan anaknya beberapa teguk arak sehingga menyebabkan bayi itu mabuk.

Sejak itu lelaki berusia 31 tahun berkenaan mula memberikan anaknya beberapa jenis arak dan wain sehingga kanak-kanak itu menjadi ketagih.

“Tangtang kini mula ketagih arak dan setiap kali nampak botol arak dia menangis kerana mahu meminumnya.

“Anak saya juga lebih gemar meminum arak berbanding susu,” katanya.

Menurutnya, dia memberikan anaknya minum arak kerana mahu membentuk kanak-kanak itu menjadi lelaki.

“Bagaimanapun, kini saya rasa bersalah selepas melihat dia mula menjadi kaki botol seperti saya,” jelasnya.

China mengharamkan individu berusia 18 tahun ke bawah menghisap rokok dan mengambil minuman keras, tetapi sebilangan ibu bapa tidak mengendahkan larangan itu.

Tahun lalu, kisah seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang menjadi kaki botol, viral di Internet.

Sebelum ini seorang kanak-kanak di China turut mencetuskan kontroversi kerana ketagih menghisap rokok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2015 @ 7:38 AM