RAMAI ibu hamil mengalami kemurungan dan tekanan perasaan.
RAMAI ibu hamil mengalami kemurungan dan tekanan perasaan.
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Saat disahkan hamil tentunya berita yang paling ditunggu-tunggu oleh setiap pasangan yang baru mendirikan rumah tangga. Ia pasti disambut dengan perasaan syukur kerana memperoleh rezeki yang diidamkan selama ini.

Begitupun, kehamilan bukan sesuatu yang mudah kerana terdapat banyak dugaan yang harus dilalui si ibu sepanjang sembilan bulan membawa kandungan.

Ada bakal ibu yang berdepan dengan masalah kesihatan juga fizikal seperti kenaikan berat badan. Ada juga bakal ibu berdepan dengan perubahan emosi yang menakutkan ketika hamil.

Mereka mengalami tekanan perasaan kerana sering berasa muram hinggakan perkara remeh-temeh pun boleh menyebabkan emosi terganggu dengan mudah.

Situasi berkenaan bagaimanapun dianggap normal kerana ia dikatakan berlaku akibat perubahan hormon dalam badan si ibu. Ramai pakar perubatan berpendapat, perubahan emosi itu berlaku sepanjang 10 minggu pertama kehamilan.

Ia bagaimanapun semakin berkurangan apabila memasuki trimester kedua sebelum hilang begitu saja ketika usia kandungan semakin dekat dengan kelahiran.

Menurut Doktor Perubatan Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Johor Dr Zubaidi Ahmad, hampir semua wanita yang hamil akan mengalami perubahan emosi yang bercampur iaitu perasaan gembira kerana berjaya hamil dan pada masa sama, berasa tertekan dan letih.

Ia berpunca kerana keletihan di tempat kerja, komitmen di rumah serta akibat pembesaran bayi di dalam rahim wanita terbabit.

Menurut Dr Zubaidi, wanita hamil biasanya mempunyai emosi bercampur-baur antara gembira kerana dapat menghadiahkan zuriat dalam perkahwinan yang dibina dan pada masa sama, gusar mengenai masa depan si anak.

"Ramai ibu hamil mengalami kecelaruan emosi kerana runsing mengenai perkara tertentu seperti masa depan anak yang bakal dilahirkan serta harapan tinggi yang diletakkan kepada bayi berkenaan.

"Malah, ada yang bertanya sama ada mereka mampu menjadi ibu yang baik serta dapat membesar dan memberikan pendidikan sempurna kepada anak.

"Bagi keluarga hidup sederhana, tentu juga berfikir mengenai kemampuan mereka mempunyai seorang lagi anak dengan kos sara hidup hari ini semakin meningkat," katanya.

Dr Zubaidi berkata, faktor ketabahan dalaman diri wanita turut memainkan peranan. Ini kerana wanita yang biasa hidup susah sejak kecil mungkin lebih tabah daripada bakal ibu yang selalu bergantung kepada pertolongan ibu bapa.

Setiap wanita mempunyai tindak balas berbeza terhadap tekanan hidup yang dihadapi ketika mereka hamil.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan seseorang wanita itu berkemungkinan besar boleh mengalami kecelaruan emosi menakutkan ketika hamil.

"Antaranya, wanita itu tidak mendapat sokongan fizikal dan emosi daripada suami, keluarga terdekat atau rakan.

"Ini selalunya berlaku apabila perkahwinan berkenaan tidak mendapat restu keluarga, suami tinggal berjauhan, bekerja di syarikat yang sangat kompetitif atau suami dan isteri tidak bersedia untuk menimang cahaya mata," katanya.

Menurut Dr Zubaidi, wanita yang hamil setelah menjalani rawatan kesuburan juga berisiko untuk mengalami kecelaruan emosi.

Ini kerana wanita berkenaan mudah berasa tertekan disebabkan sudah lama mencuba dan membelanjakan banyak wang semata-mata untuk hamil.

"Begitu juga dengan faktor bebanan harapan ibu bapa dan suami yang tinggi menggunung, mengharapkan agar kehamilan itu berjaya. Tekanan seperti itu mengganggu emosi wanita hamil," katanya.

Selain itu, wanita yang pernah mengalami masalah kerap kali keguguran juga berisiko mengalami masalah berkenaan.

"Wanita yang kerap keguguran pasti berasa bimbang mengenai keselamatan bayinya. Mereka berasa gusar dan tertanya-tanya sama ada bayi yang dikandung kali ini dapat dilahirkan dengan selamat atau bernasib malang seperti sebelumnya," katanya.

Sementara itu, Dr Zubaidi berkata, doktor atau jururawat perlu memeriksa atau meneliti tanda kecelaruan emosi berkenaan pada pesakit mereka. Beberapa tanda kecelaruan yang dapat dikesan dengan mudah dan perlu ditanya kepada mereka ialah tanda keletihan keterlaluan dan masalah sukar tidur.

"Walaupun masalah ini dianggap biasa bagi wanita hamil, mereka yang mengalami kecelaruan emosi ini selalunya seperti sudah berputus asa dengan kehamilannya atau mudah menitiskan air mata apabila bercerita mengenai masalah dihadapi.

"Selain itu, ada juga yang sukar bercerita, tetapi kadangkala kelihatan linangan air mata mengalir dari kelopak mata yang cukup menandakan mereka sedang mengalami kecelaruan emosi.

"Jika doktor atau jururawat yang bertugas gagal mengenal pasti masalah berkenaan, dibimbangi mereka akan mengalami masalah kemurungan atau 'meroyan' apabila sudah melahirkan anak nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 5:00 AM