TENANGKAN diri ketika mengalami perubahan emosi.
TENANGKAN diri ketika mengalami perubahan emosi.
Siti Nadirah Hafidzin


“MENGADA dia, asyik-asyik tarik muka masam lepas itu marah-marah, orang lain pun mengandung juga.” Itu antara kata-kata sinis yang dilemparkan kepada wanita hamil yang mengalami masalah perubahan emosi ketara.

Ada yang menganggap wanita hamil yang mengalami situasi itu terlalu manja, bersikap keanak-anakan dan mengikut perasaan sedangkan hampir semua wanita hamil akan mengalaminya iaitu perasaan gembira, sedih, tertekan dan mudah penat kesan perubahan hormon yang berlaku sepanjang tempoh kehamilan.

Mungkin perkara itu tidak dilalui semua wanita, namun pengalaman melalui hari-hari yang dianggap ‘pelik’ bersama si kecil dalam kandungan akan meninggalkan kenangan manis yang tidak dapat dilupakan.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor Muslim Malaysia (PERDIM),

Dr Zubaidi Ahmad, peru­bahan emosi dengan menjadi terlalu sensitif terhadap sesuatu perkara adalah perkara normal yang dilalui setiap ibu hamil.

“Tahap perubahan emosi ini berbeza antara seseorang. Ada yang tidak terkesan dengan perubahan ini, tetapi ada juga wanita yang boleh menangis teresak-esak secara tiba-tiba tanpa sebab kukuh.

“Selain banyak berfikir terutama berkaitan anak yang berada di dalam kandungan, ibu hamil

juga mengalami rasa pedih ulu hati, keletihan dan kerap membuang air kecil yang juga boleh menjadi beban emosi,” katanya.

Dr Zubaidi berkata, perubahan hormon mendadak ketika hamil turut mempengaruhi cara otak dan saraf bekerja.

“Perkara ini tidak berlarutan selepas bersalin, apa yang penting adalah sokongan suami. Wanita yang mendapat sokongan kuat daripada individu tersayang kebiasaannya dapat mengawal emosinya.

“Selain sokongan daripada individu tersayang, wanita itu sendiri perlu bijak dan berusaha dalam mengawal perubahan hormon dilaluinya dengan baik,” katanya.

Tambahnya, jalani proses kehamilan dengan sebaik mungkin dan nikmati setiap detik perkembangan anak kesayangan anda.

“Apa yang penting ambil vitamin yang diberikan klinik atau pusat perubatan sepanjang kehamilan ini dan makan secara teratur,” katanya.

Katanya, terdapat beberapa faktor lain menyebabkan seseorang wanita itu berkemungkinan besar boleh mengalami kecelaruan emosi menakutkan ketika hamil.

“Antaranya, wanita itu tidak mendapat sokongan fizikal dan emosi daripada suami, keluarga terdekat atau rakan.

“Ini selalunya berlaku apabila perkahwinan berkenaan tidak mendapat restu keluarga, suami tinggal berjauhan, bekerja di syarikat yang sangat kompetitif atau suami dan isteri tidak bersedia untuk menimang cahaya mata,” katanya.

SUAMI perlu beri sokongan kepada isteri.
SUAMI perlu beri sokongan kepada isteri.

Menurutnya, wanita yang hamil selepas menjalani rawatan kesuburan juga berisiko untuk mengalami kecelaruan emosi.

“Ini kerana wanita berkenaan mudah berasa tertekan disebabkan sudah lama mencuba dan membelanjakan banyak wang semata-mata untuk hamil.

Begitu juga dengan faktor bebanan harapan ibu bapa dan suami yang tinggi menggunung, mengharapkan agar kehamilan itu berjaya. Tekanan seperti itu mengganggu emosi wanita hamil,” katanya.

Mengakui pernah mengalami masalah perubahan emosi keterlaluan, Norbaiti Isa berkata, dia menyedari mula mengalami perubahan emosi ketika kandungan memasuki trimester kedua.

“Sepanjang trimester pertama, saya mengalami mabuk hamil yang teruk. Saya langsung tidak boleh menghidu bau suami terutama bau minyak wangi, pomade dan deodorannya menyebabkan suami terpaksa menukar semuanya kepada bau yang saya boleh terima.

“Selain itu, saya kerap muntah dan tidak bermaya menyebabkan saya banyak menghabiskan masa di rumah,” katanya.

Menurut Norbaiti, semua perkara itu berakhir sebaik saja dia memasuki trimester kedua kehamilan.

“Saya sangkakan segalanya akan kembali seperti biasa namun saya mula menyedari berlaku perubahan emosi yang sangat ketara.

“Bayangkan, tanpa ada sebab saya menangis sekuat hati, malah saya juga amat mudah terhibur dan ketawa walaupun sesuatu perkara itu tidak lucu.

“Semua ini bukan dibuat-buat namun saya bersyukur suami sangat bersabar dan melayan semua perubahan hormon saya ini sebaik mungkin,” ujarnya.

Menurutnya, dia cuba mengawal emosinya namun perkara itu agak sukar kerana ia berlaku secara semula jadi.

“Saya sedar perkara ini, namun ia sukar dibendung. Sebagai contoh, saya akan terus menangis apabila suami tidak dapat menunaikan sesuatu yang saya minta contohnya apabila teringin satu-satu jenis makanan atau minuman.

“Saya bukan sengaja bersikap sedemikian, apatah lagi untuk menyusahkan suami namun semua ini berlaku tanpa sebab dan emosi saya amat mudah tersentuh,” katanya.

Katanya, dia tidak menolak kemungkinan ada pihak termasuk keluarga yang menganggap dia mengada-ngada kerana kelakuan sedemikian.

“Mungkin ini dugaan untuk saya, syukur walaupun terpaksa berdepan keadaan emosi yang berubah-ubah dan tidak boleh dijangka namun sehingga kini semuanya dalam keadaan terkawal.

“Apa yang penting adalah semangat, kesabaran dan bantuan suami serta ahli keluarga terdekat dalam keadaan sebegini. Saya juga berharap proses melahirkan bayi ini dipermudahkan dan berjalan lancar,” katanya.

Kaedah urus emosi ketika hamil

• Sering ingatkan diri bahawa kehamilan adalah rezeki dan amanah Allah. Sebagai bakal ibu, anda perlu belajar menerimanya dengan tangan terbuka.

• Rehatkan diri dan fikiran dengan sepenuhnya. Jangan bebankan diri dengan tugasan tertentu sebelum saat kelahiran.

• Perasaan runsing juga pasti berkurangan jika hubungan dengan pasangan lebih intim. Hubungan itu umpama jaminan pasangan ada untuk anda dan anda juga tidak berseorangan ketika menghadapi cabaran mengandung.

• Wujudkan sistem sokongan sebelum dan selepas bayi dilahirkan. Ada juga ibu hamil tanpa suami di sisi, jadi dekati keluarga dan rakan rapat yang setia mendampingi.

• Tidak salah jika lakukan sesuatu yang boleh membuatkan rasa gembira misalnya menghabiskan waktu berkualiti bersama pasangan atau waktu bersendirian seperti menikmati urutan dan menonton wayang bersama teman baik.

• Kongsi masalah atau sebarang kebimbangan bersama teman baik. Ia bukan saja meringankan beban masalah malah dapat menghilangkan seketika tekanan.

• Pengurusan tekanan juga penting daripada membiarkan ia membebankan perasaan dan emosi.

• Selain itu, pastikan mendapat waktu tidur yang cukup, makan teratur serta melakukan senaman ringan untuk mengeluarkan peluh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 6:00 AM