IZZY dan Gya mampu jadi pelapis pelakon sedia ada.
IZZY dan Gya mampu jadi pelapis pelakon sedia ada.
Oleh Nor Akmar Samudin


Dua pelakon muda, Izzy Zulkhazreef Zulkelfi (Izzy), 16, dan Gya Natasha Awaludin, 10, mewarnai dunia lakonan tanah air dan jika bakat mereka terus digilap tidak mustahil suatu hari nanti jadi pelapis kepada pelakon sedia ada.

Izzy berjaya membuktikan lakonan cemerlang dalam filem Redha-Beautiful Pain (Redha) arahan Tunku Mona Riza. Redha turut dibintangi Namron, Remy Ishak, Nadia Nisaa, Junainah, Susan Lankester dan Ruminah Sidek.

Menurut bintang muda itu, dia mengambil masa tiga bulan untuk mengkaji watak sebagai kanak-kanak autisme.

Bagi mendalami watak itu dia turut ke Pusat Autisme Malaysia (Nasom) cawangan Titiwangsa dan pusat terapi di Puchong, Selangor.

“Saya belajar berenang dan bertutur bahasa Inggeris kerana kanak-kanak autisme cenderung bercakap dalam bahasa itu. Mereka istimewa kerana dari mana asal mereka dan bangsa apa, mereka bercakap dalam bahasa antarabangsa itu.

“Selain itu pengarah filem ini minta saya mengikut keluarga anak austisme bersiar-siar dan membeli-belah. Daripada situ saya belajar memahami sikap kanak-kanak austisme.

“Tiga bulan saya belajar dan hasilnya saya dapat menjiwa watak dengan baik malah penggambaran pun berjalan lancar,” katanya.

Sambung Izzy, dia ditawarkan watak itu selepas menghadiri uji bakat yang dilakukan Tunku Mona Riza.

“Pada mulanya runsing juga kerana saya tak tahu apa itu autisme. Saya jadi tertekan dan pengarah menjelaskan dengan terperinci apa perlu saya buat.

“Saya kena banyak melakukan kajian mengenai perlakuan anak autisme barulah boleh menjiwai watak,” katanya.

Izzybertuah kerana watak bapanya dalam filem itu dilakonkan Namron dan ibunya pula Junainah. Kehebatan dua pelakon itu mendorongnya melakukan yang terbaik.

“Mereka bukan sahaja suami isteri dalam filem ini tetapi juga dalam kehidupan sebenar. Kedua-duanya hebat di pentas teater dan aura mereka membantu pelakon lain menjayakan watak masing-masing dengan berkesan dalam Redha-Beautiful Pain.

“Apabila berada dekat dengan insan hebat seperti mereka, mana mungkin saya berlakon sambil lewa,” katanya yang turut membintangi filem komedi Kipidap, Selamat Hari Jadi.

Gya mudah menangis

Sementara itu, Gya mendapat pendedahan dalam dunia lakonan pada usia empat tahun menerusi ibunya, jurusolek artis, Jihan Nazira Mohamed Nazib (Yan).

Ketika menyolek artis untuk menjayakan penggambaran klip video lagu Terindah, pihak produksi mencari model pelakon kanak-kanak dan Yan mencadangkan anaknya itu.

“Itulah kali pertama Gya berlakon dan dia boleh faham arahan pengarah. Daripada situ saya tahu dia berbakat. Dia juga selalu ikut saya ke lokasi penggambaran dan sebab itu walaupun masih kecil dia tahu macam mana orang produksi bekerja.

“Apabila Gya dapat tawaran berlakon dia tidak pernah meragam di set. Ini kerana dia tahu kena tunggu sehingga babaknya selesai tak kira berapa jam pun,” kata Yan.

Terbaru Gya muncul dalam filem Sayu Yang Syukur arahan dan lakonan Aaron Aziz yang akan menjengah pawagam tahun ini.

“Filem sedih ini menuntut saya banyak menangis dan mujur saya mudah mengalirkan air mata.

“Saya gembira dapat berlakon di samping Aaron dan Raja Ema,” katanya.

Gya yang bercita- cita menjadi juruterbang sudah menjayakan banyak drama antaranya Pustakala, 4 Hari 3 Malam, Papaku Heroku, Nawaitu Cinta dan Satu Cinta.

Meskipun masih kecil, apabila didedahkan dengan bidang lakonan dia petah berkata-kata.

“Saya suka berlakon kerana dapat belajar benda baru dan berkenalan dengan ramai orang. Pun begitu, pelajaran tetap jadi keutamaan kerana saya mahu jadi juruterbang.

“Lakonan sekadar hobi di samping dapat cari duit poket sendiri. Seronok juga apabila ada pendapatan sendiri,” katanya seraya tersenyum.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 8:57 AM