MONA Allen bersyukur tayangan ketika pandemik tetap dapat sambutan walaupun jumlah kehadiran terhad.
MONA Allen bersyukur tayangan ketika pandemik tetap dapat sambutan walaupun jumlah kehadiran terhad.
Ridzuan Abdul Rahman


MENJADI filem pertama ditayang selepas pawagam dibuka mengundang risiko tersendiri dari segi sambutan penonton buat filem Salina arahan Raja Mukhriz.

Bagi Mona Allen, 36, yang memegang watak utama sebagai Salina, sambutan yang diterima daripada peminat ternyata tidak mengecewakan.

"Alhamdulillah, Salina dapat sambutan. Tapi kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19, mungkin ada sedikit kekangan di situ. Tak berapa ramai peminat yang pergi menonton.

"Kami juga terima pelbagai pandangan daripada penonton. Ada yang suka dan ada yang macam tak dapat terima sangat filem genre seram ini kerana memerlukan daya fikir yang tinggi.

"Apapun saya tetap gembira kerana sekurang-kurangnya filem ini tetap berjaya masuk ke pawagam selepas tiga kali tertangguh kerana PKP," katanya.

Mona atau nama sebenarnya Munna Hafiraneza Allen berkata, dia tidak mahu meletakkan definisi Salina sebagai filem yang gagal.

MONA tetap berbangga dengan sambutan peminat terhadap filem Salina.
MONA tetap berbangga dengan sambutan peminat terhadap filem Salina.

"Ia sebuah filem yang boleh dibanggakan kerana mendapat sambutan yang menggalakkan. Cuma, ia tidak menepati jangkaan untuk mendapat 'box office'.

"Saya tetap bersyukur kerana ramai juga yang menonton sebagai tanda sokongan," katanya.

Filem terbitan Madness Films Sdn Bhd ini turut menampilkan suaminya, Pekin Ibrahim dan Alicia Amin.

Bercerita perkembangan terbaru, Mona berkata, jadualnya kembali padat sebaik kerajaan membenarkan penggambaran dilakukan.

"Saya kini terbabit dengan penggambaran supertele berjudul Tarantula X terbitan Kuasatek Pictures yang menampilkan Vanida Imran, Eman Manan, Adlin Aman Ramli, Namron, Rashid Salih dan ramai lagi

"Kali ini saya tampil dengan watak wanita penggoda dan agak lain dari watak yang pernah saya bawa. Selain itu, saya masih lagi terbabit dengan penggambaran drama Hati Yang Dikhianati terbitan Global Station.

"Drama 65 episod itu kini sedang ditayangkan di Astro Prima sepanjang Ramadan sehingga tahun depan. Ia sekali gus buat jadual saya sibuk hingga tahun depan," katanya.

Mona mengakui terpaksa menolak beberapa tawaran kerja lain termasuk filem yang datang.

"Saya masih lagi fikir sama ada nak terima atau tidak berlakon filem kerana perlu fokus dengan siri ini. Insya-Allah lepas habis penggambaran drama ini, saya akan berehat sekejap.

"Apapun saya puas hati kerana watak yang saya bawa dalam kedua-dua drama ini berbeza dari apa yang pernah saya lakonkan sebelum ini," katanya.

MONA dan Pekin teringin menimang cahaya mata tahun depan.
MONA dan Pekin teringin menimang cahaya mata tahun depan.

Mahu anak tahun depan

Mona sekali lagi menerima hakikat tidak dapat meraikan Aidilfitri bersama keluarga mentuanya di Kelantan tahun ini.

"Kita semua dah tahu tak boleh rentas negeri. Jadi saya dan Pekin akan sambut Aidilfitri secara sederhana di rumah dengan keluarga terdekat. Ia tetap menggembirakan.

"Disember ini masuk tiga tahun usia perkahwinan kami. Kehidupan rumah tangga semakin teratur dan kasih sayang semakin melimpah. Kami pun dah makin kenal satu sama lain lebih mendalam.

"Insya-Allah tahun depan kami rancang untuk dapat anak. Untuk dua tahun ini kami tangguh dulu kerana cuba untuk bekerja.

Doakan kami dapat anak yang comel dan alim," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 7:00 AM