Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Pasukan D’Rhinos dari Sekolah Kebangsaan Paya Rumput, Melaka muncul juara Cup Bawah 8 Tahun manakala tempat kedua dimenangi kelab Cobrat dari Kuala Lumpur pada Kejohanan Ragbi Jemputan Bukit Beruang 7’s di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Baru, baru-baru ini.

Kejohanan anjuran Sekolah Kebangsaan Bukit Beruang itu menyaksikan tempat ketiga dan keempat milik kelab BBRC dan KL Saarcens manakala B-9 milik Baby Jaishun dan tempat kedua hingga keempat SPRC, BBRC dan KTR Warriors.

Bagi kategori B-12 juara Cup milik pasukan Sraitaf dan naib juara (Kings), bagi juara dan naib juara Plate dimenangi Cobrat dan D’Rhinos manakala kelab Mytant (juara Bowl).

Penyelia Cemerlang Unit Sukan Jabatan Pendidikan Melaka Kamarudin Othman berkata, kejohanan itu menyerlahkan bakat dalam kalangan pelajar sekolah rendah seawal usia tujuh tahun.

“Sebanyak 32 pasukan menyertai kejohanan termasuk skuad jemputan antarabangsa menyaksikan ramai bakat baru berjaya diketengahkan sebagai pelapis masa depan,” katanya.

Beliau berkata, sokongan ibu bapa, guru dan penggiat sukan terhadap kejohanan amat memberangsangkan dalam usaha menjadikan ragbi terus relevan untuk pembangunan minda selain melahirkan masyarakat sihat dan cergas.

Sementara itu, penyelaras program Moorsyidee Moktaruddin berkata, lebih lima kelab dan 13 sekolah turut menyertai saingan sekali gus menunjukkan kesinambungan bakat akar umbi untuk diketengahkan ke peringkat tertinggi.

Katanya, antara pasukan bertanding termasuk Kelab Ragbi Malaya Ceylon, KL Tigers, Cobrat, RB Seven, SSTAR 7, MCRC1, Eagles, KTR Warrior, Mutans, KL Saracens, Zealord JR dan Jebat Derhaka yang turut dibarisi pemain kelahiran luar negara.

“Pasukan lain adalah SK Tanjung Minyak, SK Tuanku Mahmud Kluang, SK Seri Pengkalan Batu Pahat, SK Taman Perling Johor Bahru, Sekolah Rendah Agama Integrasi Tengku Ampuan Fatimah Selangor dan Sekolah kebangsaan Kesang Tua, Jasin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:04 AM