PASUKAN Silver Gaurus Veteran muncul kategori veteran akhir plate bersempena Kejohanan Ragbi Pesta Pulau Pinang 10 Sebelah 2017 di Padang Polo,  semalam. FOTO/RUDY SYAREME SHERIFFUDIN
PASUKAN Silver Gaurus Veteran muncul kategori veteran akhir plate bersempena Kejohanan Ragbi Pesta Pulau Pinang 10 Sebelah 2017 di Padang Polo, semalam. FOTO/RUDY SYAREME SHERIFFUDIN
Rudy Syareme Sheriffudin


PASUKAN Sahoca KC berjaya membuktikan kemampuan sebenar apabila muncul juara keseluruhan kategori kelab terbuka selepas menewaskan RMP Blues 35-28 dalam perlawanan akhir Kejohanan Ragbi Pesta Pulau Pinang 10 Sebelah 2017 di Padang Polo, di sini semalam.

Sahoca KC membawa pulang wang tunai RM2,500 berserta medal dan piala pusingan Tuan Hassan Farouk manakala RMP Blues yang terpaksa berpuas hati di tangga kedua membawa pulang wang tunai RM750 serta medal.

Bagi kategori akhir sheild, Ex Scorpion berjaya menumpaskan Panthera Hocca 7-5 manakala KBRC berjaya muncul juara kategori akhir bowl selepas mengalahkan RMR Warrior juga dengan 7-5 manakala Alor Setar Blues berjaya menewaskan Sajoha Viking 19-12 dalam kategori akhir plate.

Dalam kategori wanita, Wipers RC beraksi garang apabila berjaya membelasah ATM Orca 10-0 sekali gus membuktikan jaguh sebenar dalam kategori akhir plate manakala Kedah Ladies berjaya muncul juara kategori cup dan Ladies Rebels pula muncul juara kategori bowl.

Sementara itu, bagi kategori akhir bowl veteran pula dimenangi Cobra Legends manakala Silver Gaurus Veteran muncul juara plate dan RMP Blues muncul juara kategori cup selepas menewaskan Kedah Blues Otai 17-5.

Pengerusi Penganjur, Lim Wee Seong berkata, matlamat utama Kelab Ragbi Penang Blues (PBRC) menganjurkan kejohanan ini adalah untuk memperkenalkan sukan ragbi kepada generasi muda selain dapat menjadikan sukan itu sebagai produk sukan pelancongan.

Beliau berkata, kerjasama semua pihak termasuk Tune Project, Rugby Zone, Prince of Wales Island International School, The Shed, Malcoom Foo Photography dan Forward Rugby Wear juga mencapai satu kejayaan yang amat membanggakan PBRC.

Katanya, sambutan yang amat memberangsangkan lebih 100 pasukan dari seluruh negara termasuk pasukan wanita yang menyertai kejohanan pada tahun ini membuktikan sokongan terhadap sukan ragbi negara amat baik.

“Pencapaian cemerlang dicapai PBRC apabila dapat bekerjasama dengan Cobrats Pulau Pinang untuk mencari bakat-bakat muda untuk diketengahkan dalam kategori bawah 16 tahun, bawah 12 tahun, bawah umur 10 tahun, bawah lapan tahun dan bawah tujuh tahun.

“Kerjasama baik ini diharap dapat diteruskan pada kejohanan akan datang dengan lebih ramai lagi penyertaan pasukan dari seluruh negara selain sokongan ibu bapa di Pulau Pinang membawa anak-anak mereka menyertai klinik sukan di Penang Free School setiap Ahad,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Kejohanan Cobrats Pulau Pinang, Beau Gillitte dan Pengarah Kejohanan PBRC, Nasir Karim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 10:12 PM