Oleh Sri Ayu Kartika Amri dan Sharifah Norfaezah Wan Ahmad

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyokong penarafan yang dilakukan oleh Fitch Ratings Agency dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.

Menterinya Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, keputusan agensi itu sangat dialukan terutamanya dalam membantu memulihkan persepsi dalam kalangan pelabur.

“Ini juga berkaitan dengan keadaan ekonomi global yang tidak menentu sekarang, selain pergolakan geopolitik yang sedang berlaku,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini, semalam.

Menurutnya, walaupun sebelum penarafan dilakukan, Malaysia sudah mencapai pertumbuhan dua digit tahunan dalam pelaburan direalisasikan yang mana pelaburan swasta meningkat sebanyak 13.1 peratus pada 2013 dan 11 peratus antara 2013 dan 2014.

Mustapa berkata, hasil penarafan itu juga dibuat berdasarkan beberapa laporan lain oleh organisasi antarabangsa bebas termasuk IMD, Bank Dunia dan Forum Ekonomi Dunia yang melihat Malaysia terus menunjukkan prestasi baik sebagai lokasi pilihan untuk menjalankan perniagaan.

“Penarafan Fitch Ratings yang terkini mungkin memberi rangsangan tambahan kepada usaha kita untuk menarik pelaburan yang berkualiti dan nilai tambah tinggi ke arah mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.

“Paling penting sekarang adalah untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan dan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, keputusan daripada agensi itu juga didorong oleh asas ekonomi negara, pengurusan ekonomi kerajaan di bawah penstrukturan semula Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Kelmarin, Fitch Ratings mengesahkan penarafan mata wang asing jangka panjang negara pada ‘A-’ dan menyemak semula prospek dengan menaikkan kepada stabil daripada negatif.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 6:32 AM