Oleh Sudirman Mohd Tahir


Bintang kelahiran Singapura ini pernah dikaitkan dengan beberapa wanita termasuk kakak kepada Anzalna Nasir dan aktres Rozita Che Wan. Bagaimanapun, status sebenar Shah Iskandar, 33, terjawab apabila dia mengakui sedang bercinta.

Hubungannya bersama gadis berusia 30 tahun itu hanya mahu dikenali sebagai S sudah terjalin sejak dua tahun lalu. Lebih bermakna, Shah dan kekasihnya sudah ada perancangan untuk berumah tangga.

“Alhamdulillah, hubungan kami berjalan lancar dan masing-masing selesa dengan apa yang dilalui. Insya-Allah, kami dalam perancangan untuk ke fasa seterusnya iaitu berkahwin.

“Sepanjang dua tahun bercinta, baru kali ini kami membicarakan hal terbabit. Dalam kalangan ahli keluarga, semua sudah tahu niat kami cuma belum dibawa berbincang secara serius,” katanya.

Memandangkan kedua-duanya sibuk dengan kerjaya masing-masing, soal perkahwinan perlu dirancang sebaiknya.

“Berkahwin bukan perkara sembarangan. Jadi, banyak hal perlu diambil berat. Tidak sekadar bercakap, sebaliknya setiap yang dirancang itu perlu dilaksanakan sebaiknya.

“Malah, selepas berkahwin ia menjadi satu tanggungjawab lain pula. Sebab itu, saya mengambil masa yang agak lama untuk bersedia ke arah ini. Orang kata, cabaran selepas berkahwin itu lebih hebat,” katanya.

Shah juga menjelaskan dia tidak mahu bertunang, tetapi ingin terus bernikah.

Pemenang Pelakon TV Lelaki Popular di ABPBH dua kali ini menafikan masalah kewangan menjadi punca dia lambat berkahwin.

“Kami dua individu yang sangat sibuk. Wajar jika hal seperti ini belum menjadi keutamaan pada awal karier masing-masing. Tidak timbul soal cukup duit atau tidak, sebaliknya lebih kepada masa.

“Kalau diikut­kan­ kos perbelanjaan kahwin hari ini boleh melebihi RM100,000. Justeru, kami mengimpikan majlis perkahwinan yang meriah di kedua-dua pihak termasuk di Singapura,” katanya.

Ditanya sampai bila dia mahu merahsiakan identiti bakal isterinya, kata Shah, biarlah ia terus menjadi rahsia peribadi.

“Sampai masa dan bila semuanya sudah ada pengesahan, baru saya dedahkan.”

Penjelasan pelakon Teduhan Kasih ini sekali gus menafikan gosip yang tersebar mengatakan dia dan Fida Ibrahim sedang bercinta.

“Saya cakap kami hanya kawan. Tak cakap pun kami dalam proses mengenali hati budi. Tapi tidak tahu pula jika kenyataan itu dikeluarkan oleh Fida. Sebolehnya saya tidak mahu perkara ini menjadi isu seperti yang pernah terjadi dulu,” katanya.

Mengerti asam garam dunia selebriti, menurut Shah kekasihnya tidak memberikan sebarang persepsi negatif.

“Ketika mula berkawan lagi saya sudah beritahu senario industri hiburan. Apatah lagi gosip atau apa sahaja cerita memang tidak dapat dielakkan. Alhamdulillah, dia sangat memahami.

“Selepas keluar cerita berkenaan, dia hanya bertanya bagaimana cerita itu boleh timbul. Saya tidak perlu memberi penjelasan panjang lebar kerana dia sendiri tahu saya jenis yang macam mana,” katanya.

Mula berniaga

Bagi perancangan masa panjang, Shah kini mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan.

“Saya berniaga pelbagai bentuk produk tempatan. Buat masa sekarang, kedai saya di pusat beli-belah Quill City Mall masih dalam proses pengubahsuaian. Jika semuanya berjalan lancar, ia akan mula beroperasi pada 30 Ogos depan.

“Ini adalah perniagaan pertama. Jadi saya perlu lakukan sehabis baik. Pembukaan perniagaan ini hasil titik peluh selama hampir lapan tahun berlakon. Ingin dijelaskan juga, saya tidak ditaja mana-mana pihak,” katanya.

Sepanjang Ramadan ini Shah terpaksa berehat panjang daripada bidang seni selepas mengalami kecederaan pada bahagian lutut dan pergelangan kaki kanannya akibat kemalangan motosikal seminggu yang lalu.

“Saya sepatutnya menggunakan tongkat atau kerusi roda untuk tidak memberikan tekanan kepada kaki kanan saya, tetapi biasalah degil.

“Alhamdulillah, saya tidak mengalami kecederaan teruk, tetapi ia tetap mengambil masa untuk sembuh sekiranya saya tidak berehat dengan secukupnya,” katanya.

Menceritakan kejadian itu, Shah berkata, dia terjatuh selepas gagal mengelak lopak sebelum dia rebah lalu dihempap oleh motosikalnya sendiri.

“Ketika kejadian saya berhenti di lampu isyarat dan semasa hendak tukar gear saya tidak perasan ada lopak dan tidak sempat mengelak sebelum hilang kawalan. Akibatnya, saya dihempap motosikal sendiri. Mujur ada penggguna jalan raya lain menolong mengangkat saya ke tempat selamat.

“Selain berehat, saya perlu menjalani fisioterapi supaya kecederaan terbabit cepat sembuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2015 @ 10:06 AM