PENDUDUK di perkampungan Orang Asli Sangai Kenyir sering mengambil air di Sira Tersau.
PENDUDUK di perkampungan Orang Asli Sangai Kenyir sering mengambil air di Sira Tersau.
POHON keladi gergasi yang turut ditemui di Tasik Banding.
POHON keladi gergasi yang turut ditemui di Tasik Banding.
PENGUNJUNG meneliti kesan tapak kaki gajah yang baru meninggalkan kawasan Sira Tersau.
PENGUNJUNG meneliti kesan tapak kaki gajah yang baru meninggalkan kawasan Sira Tersau.
ALUR air Sira Tersau yang dikatakan berkhasiat dan menjadi tempat minum haiwan liar di Tasik Banding, Gerik, Perak.
ALUR air Sira Tersau yang dikatakan berkhasiat dan menjadi tempat minum haiwan liar di Tasik Banding, Gerik, Perak.
Oleh D J Dolasoh


Kewujudan Sira Tersau berhampiran perkampungan Orang Asli Sungai Kenyir, Tasik Banding, Gerik, Perak melengkapkan lagi keindahan panorama alam anugerah Tuhan kerana lokasi ini menjadi tumpuan pelbagai haiwan.

Terletak kira-kira 30 minit perjalanan menggunakan bot laju dari Jeti Awam Banding, ia kini menjadi tempat wajib bagi haiwan liar di sekitar Tasik Banding minum air di satu alur kecil di situ.

Air yang separuh masin dipercayai berkhasiat itu diminum haiwan seperti gajah, harimau, beruang, kijang, tapir, pelanduk, seladang, rusa, napuh, ayam hutan dan pelbagai jenis burung yang ada di persekitaran Tasik Banding.

Lokasi yang ditemui penduduk kira-kira 15 minit perjalanan dengan bot laju dari Perkampungan Orang Asli Sangai Kenyir 15 tahun lalu itu mendapati alur itu terbentuk daripada dua mata air di kawasan lembah.

Sehingga kini, Orang Asli di sekitar Tasik Banding mengambil air itu untuk diminum yang dikatakan baik untuk mengubati penyakit lelah, batuk dan selesema.

Air yang keluar dari perut bumi itu dengan rasa separuh masin dan panas suam tidak pernah kering meskipun musim kemarau. Jika bernasib baik, anda boleh melihat pelbagai jenis haiwan minum air di situ.

Di sekitar kawasan ini kelihatan banyak tapak haiwan liar antaranya bekas tapak kaki harimau, seladang, beruang madu, tenggiling serta kijang dan ayam hutan.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Gerik, Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh berkata, rasa air alur di Sira Tersau itu sedikit masin dan suam selain berasa belerang yang keluar seperti mata air dari perut bumi.

“Kawasan ini berpotensi menjadi destinasi pelancongan menarik di Tasik Banding selain perkampungan Orang Asli dan Hutan Belum di utara Tasik Banding yang terkenal dengan bunga Refflesia.

“Bagaimanapun, kawasan di Sira Tersau sedikit berisiko kerana banyak haiwan liar berkumpul hampir setiap masa bagi meminum air,” katanya.

Sira Tersau sebahagian daripada lokasi menjadi legenda di Tasik Banding sebagai tasik buatan manusia yang siap dibina pada 1974 dan terbesar dengan ukuran 70 KM panjang dan 18,000 hektar lebar sehingga terbentuk 20 pulau. Kawasan itu pada asalnya adalah puncak bukit-bukau.

Selain daripada kepuasan menyaksikan panorama indah sekitar tasik dan bukit-bukau, pelbagai spesies flora dan fauna, pokok perubatan tradisional dan akar kayu ditemui tumbuh melata antaranya tongkat ali dan kacip fatimah termasuk rumpunan pohon keladi gergasi yang tumbuh subur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2015 @ 11:17 AM